BERITA TERKINI   Seorang lelaki maut dipercayai tertimbus tanah berhampiran tangki air Taman Kedidi, Pasir Gudang pagi tadi - Bomba | Semua institusi pendidikan di Johor kembali beroperasi Isnin ini susulan trend penurunan bacaan IPU sejak lima hari lepas – Exco | Kenaikan harga petrol dunia: kerajaan sedia tanggung subsidi hingga RM45 bilion setahun, elak rakyat terbeban - PM Anwar | 

Lebih 5,000 Usahawan Sabah Terima Manfaat Program Bantuan SME-UP - Ewon

KOTA KINABALU, 24 Okt (Bernama) -- Seramai 5,879 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sabah menerima manfaat daripada Program Bantuan SME-UP yang dilaksanakan sejak 2017 hingga 2025, kata Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick.

Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah itu berkata program berkenaan bermatlamat meningkatkan kapasiti pengeluaran, mutu produk serta daya saing usahawan tempatan melalui perolehan mesin, peralatan, pembungkusan, pelabelan dan mesin retort.

"Pada tahun ini, kita juga buat pertama kalinya memperkenalkan bantuan bagi pensijilan halal dan pendaftaran cap dagangan di bawah Program Bantuan SME-UP untuk memastikan usahawan bukan sahaja mampu menghasilkan produk berkualiti, tetapi juga memenuhi keperluan pasaran dan meningkatkan daya saing.

Ad Banner

"Bagaimanapun, sambil kita meneruskan usaha membantu usahawan mikro dan kecil khususnya dalam pengeluaran produk makanan, kita juga mesti memberi perhatian kepada agenda penskalaan perusahaan agar mereka berkembang menjadi syarikat yang lebih besar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Sesi Taklimat Umum Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) bersama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin yang dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) Viviantie Sarjuni di sini hari ini.

SME-UP merupakan program skim bantuan geran khas yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri Sabah bagi membantu PMKS untuk meningkatkan kapasiti operasi, kualiti produk dan daya saing di pasaran tempatan serta antarabangsa.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ewon memberitahu kementeriannya turut memperluas capaian pasaran produk tempatan menerusi jalinan kerjasama dengan rangkaian peruncitan terkemuka termasuk Pasaraya Bataras, Kedai Mesra PETRONAS dan AEON.

Menurutnya kerjasama strategik dengan Bataras dan Kedai Mesra PETRONAS itu telah memberi peluang pasaran terus kepada seramai 630 usahawan Sabah setakat tahun lepas.

Bagi menyokong peralihan usahawan ke skala industri yang lebih besar, beliau menjelaskan bahawa kerajaan negeri telah meluluskan dasar khas pajakan tanah perindustrian bagi membolehkan syarikat tempatan membina kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

“Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah turut mengemukakan beberapa cadangan inisiatif sokongan baharu kepada Kementerian Kewangan Sabah untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan Sabah 2027.

"Kita berharap cadangan-cadangan ini mendapat pertimbangan sewajarnya dalam Belanjawan Sabah 2027 supaya lebih ramai usahawan dapat dibantu meningkatkan skala dan mengembangkan perniagaan mereka," katanya.

-- BERNAMA