MyCoverageOKU Sedia Akses Lebih Mudah Perkhidmatan Insurans Dan Takaful Kepada OKU
SHAH ALAM, 24 Okt (Bernama) -- Industri insurans dan takaful negara terus memperkukuh usaha meningkatkan keterangkuman kewangan menerusi pelancaran MyCoverageOKU, sebuah platform digital yang menyediakan akses lebih mudah kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata MyCoverageOKU merupakan laman mikro yang dibangunkan menerusi kerjasama BNM, Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) dan pihak industri bagi memudahkan golongan OKU mendapatkan maklumat berkaitan produk insurans dan takaful.
“MyCoverageOKU menghimpunkan maklumat mengenai pilihan perlindungan yang relevan kepada golongan OKU. Laman mikro ini menyediakan satu tempat rujukan untuk mereka, ahli keluarga dan penjaga mereka bagi meneroka produk serta menghubungi penyedia insurans dan takaful yang berkaitan.
“Kelayakan dan manfaat perlindungan tetap tertakluk pada terma dan syarat masing-masing,” katanya ketika berucap pada Perasmian Karnival Celik Kewangan Selangor 2026 di sini hari ini.
Abdul Rasheed berkata pendekatan berteraskan keperluan pengguna perlu menjadi panduan dalam perangkaan perkhidmatan kewangan dengan penggunaan AI berpotensi memudahkan penyampaian maklumat, mengesan aktiviti luar biasa serta memberi peringatan pada waktu yang tepat.
“Namun, teknologi tidak seharusnya menggantikan pertimbangan pengguna sebaliknya, teknologi perlu membantu pengguna memahami implikasi setiap pilihan, melindungi data peribadi serta memastikan sokongan tetap tersedia,” katanya.
Dibangunkan berpandukan Garis Panduan Kebolehcapaian Kandungan Web (WCAG), MyCoverageOKU dilengkapi pelbagai ciri kebolehcapaian seperti pelarasan saiz teks, paparan kontras tinggi dan navigasi yang dipermudah bagi menyediakan pengalaman digital mesra pengguna, khususnya kepada individu dengan keperluan kebolehcapaian yang berbeza.
Menerusi Senarai Produk Insurans dan Takaful yang disediakan, pengguna boleh meneroka pelbagai pilihan perlindungan, memahami manfaat produk serta menyemak syarat kelayakan sekali gus membuat keputusan yang lebih bijak dan bermaklumat berdasarkan keperluan serta keadaan masing-masing.
Orang ramai digalakkan untuk meneroka platform MyCoverageOKU melalui pautan https://mycoverage.my/MyCoverageOKU.
-- BERNAMA