BERITA TERKINI   PRN Melaka: Ab Rauf, Akmal Saleh, Mohd Noor Helmy kekal bertanding di DUN masing-masing | Pengacara Bernama TV Muhammad Dinnie Asyraf Salim dinobatkan Pengacara TV Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa 2026 | Young Tigers tewaskan Pakistan menerusi penentuan penalti, tamatkan penantian 13 tahun juarai Piala Sultan Johor (SoJC) | ASA 2026 iktiraf sumbangan warga industri penyiaran dalam menyampaikan maklumat dan menghasilkan hiburan berkualiti - Fahmi | Permohonan Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM15 juta bagi enam kategori di bawah FINAS dibuka mulai 16 Nov - Fahmi | 

Pelabur Global Pilih Sarawak, Semenanjung Untuk Pelaburan AI US$50 Bilion – PM Anwar

MELAKA, 24 Okt (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan bahawa seorang pelabur global berhasrat melaksanakan pelaburan bernilai US$50 bilion dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi baharu dan pusat data di Sarawak serta Semenanjung.

Beliau berkata perkara itu dinyatakan pelabur berkenaan menerusi sidang video bersama-samanya baru-baru ini dengan pelaburan berkenaan disifatkan beliau sebagai antara yang terbesar di rantau ini.

Anwar menyatakan pelaburan dalam sektor teknologi berkenaan berpotensi membuka peluang pekerjaan baharu yang lebih baik kepada rakyat, khususnya generasi muda termasuk pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Ad Banner

“Hari Selasa lepas, seorang daripada pelabur terbesar di dunia, mengadakan sidang video dengan saya. Dia kata dia sudah pilih Sarawak, Kuching dan Semenanjung untuk membangunkan pelaburan di antara pelaburan terbesar di rantau ini, US$50 bilion.

“Dalam bidang apa? Dalam bidang AI, teknologi baharu, pusat data. Maknanya anak-anak yang di pusat pengajian tinggi sekarang, di sekolah, harus ingat peluang baharu ada, peluang pekerjaan lebih baik,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih MADANI dan Peluncuran Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) di Kompleks Sukan Hang Jebat di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Perdana Menteri menyifatkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia perlu terus dipelihara menerusi kestabilan politik dan kepimpinan negara, selain memastikan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan.

Anwar menegaskan keamanan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama merupakan antara kekuatan Malaysia yang perlu dimanfaatkan untuk menarik lebih banyak pelaburan asing.

“Kalau orang tidak yakin dengan kerajaan ini, kalau pimpinan itu asyik bergaduh terus, orang tidak akan berminat untuk datang,” menurut beliau.

Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia perlu terus memperkukuh penguasaan teknologi baharu khususnya AI, pendigitalan dan semikonduktor bagi memastikan negara mampu mencatat pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Katanya, usaha meningkatkan latihan dan kemahiran tenaga kerja juga penting bagi membolehkan Malaysia beralih daripada aktiviti teknologi di sebalik sistem kepada segmen pertengahan dan peringkat berinteraksi dengan pengguna yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa kejayaan menarik pelaburan dan memacu pertumbuhan ekonomi perlu diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat termasuk peluang pekerjaan lebih baik dan peningkatan taraf hidup rakyat.

-- BERNAMA