BERITA TERKINI   Jerebu: Sekolah di Johor dibuka secara berfasa bermula esok, fasa pertama libatkan murid duduki peperiksaan- Exco | MBPP arah henti kerja serta merta projek bina kondominium dan jalan di lokasi tanah runtuh di Paya Terubong, Pulau Pinang | 

Johor Sasar 5 GW Tenaga Solar Menjelang 2031 Bagi Tampung Permintaan Pusat Data

ISKANDAR PUTERI, 25 Okt (Bernama) -- Kerajaan negeri Johor menyasarkan penjanaan kira-kira 5 gigawatt (GW) tenaga solar dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang sebagai penyelesaian jangka panjang untuk menampung lonjakan permintaan terhadap elektrik didorong oleh pertumbuhan pesat sektor pusat data di negeri ini.

​Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata langkah strategik itu diambil bagi memastikan keupayaan grid nasional sentiasa kukuh dalam mengimbangi keperluan industri dan bekalan utiliti awam.

Katanya kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak 65 projek pusat data mengikut plot tanah setakat ini.

Ad Banner

“Daripada jumlah itu, sebanyak 21 pusat data yang telah beroperasi dijangka menggunakan hampir 1.1 GW elektrik manakala projek yang masih dalam pembinaan atau fasa perancangan memerlukan tambahan 4 GW hingga 5 GW,” katanya kepada pemberita hari ini.

​Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup JTDC Mega Job Fair di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Iskandar Puteri di sini.

​Firma penyelidikan BMI, unit di bawah Fitch Solutions, menyatakan pusat data di Johor dijangka memerlukan tenaga elektrik kira-kira 30 terawatt-jam (TWh) setahun menjelang 2031 atau menyamai kira-kira 18 peratus daripada bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia, meningkat daripada enam peratus pada tahun ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagi memastikan penggunaan tenaga elektrik berskala besar ini tidak mengganggu bekalan utiliti awam, ​Lee berkata kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor (JPPPDNJ) dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan beliau sebagai Timbalan Pengerusi.

“Semua cadangan pembangunan pusat data perlu mendapatkan kelulusan jawatankuasa ini terlebih dahulu sebelum boleh membuat permohonan kebenaran merancang kepada Pihak Berkuasa Tempatan.

“Jawatankuasa ini turut menilai tahap Kecekapan Penggunaan Kuasa (PUE) bagi memastikan elektrik digunakan secara berhemah dan mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Katanya kerajaan negeri mengambil maklum mengenai laporan BMI dan perancangan penambahan kapasiti penjanaan elektrik sedang digerakkan secara menyeluruh pada peringkat negeri dan Persekutuan.

​Beliau berkata Suruhanjaya Tenaga (ST) di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air telah memanggil tender baharu untuk menambah kapasiti penjanaan sebanyak 8 GW di Semenanjung Malaysia dan sebahagian besar pertambahan itu dijangka disalurkan ke Johor.

“Pada peringkat negeri, Johor mempergiat projek tenaga solar berskala besar untuk mempelbagaikan sumber bekalan elektrik di kawasan Kota Tinggi, Mersing dan Segamat.

“Secara keseluruhan, projek ini dijangka membawa kapasiti penjanaan solar tambahan Johor kepada kira-kira 5 GW menjelang 2030 atau 2031 untuk disalurkan kepada pusat data dan industri berskala besar,” katanya.

​Inisiatif ini merangkumi projek di Kota Tinggi dan Mersing berkapasiti 4 GW yang dijangka bermula secara berfasa pada pertengahan 2029 dan projek solar 1 GW di Segamat.

Lee turut menyambut baik dasar Kerajaan Persekutuan yang membenarkan pengendali pusat data berskala besar meneroka penyelesaian alternatif termasuk off-grid solution untuk menjana elektrik mereka sendiri dan tertakluk kepada peraturan ditetapkan.

“Langkah ini merupakan pelan jangka panjang kerana pembangunan penjanaan elektrik baharu memerlukan masa yang panjang. Usaha meningkatkan penjanaan elektrik melalui projek solar, off-grid solution dan tender baharu ST sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

“Kita yakin perancangan rapi ini berupaya memastikan bekalan elektrik sentiasa mencukupi untuk menyokong pertumbuhan industri pusat data dan pembangunan perindustrian lain di Johor,” katanya.

​-- BERNAMA