BERITA TERKINI   Jerebu: Sekolah di Johor dibuka secara berfasa bermula esok, fasa pertama libatkan murid duduki peperiksaan- Exco | 

Malaysia Perlu Bekalan Tenaga Mencukupi, Kapasiti Grid Tarik Pelaburan Pusat Data – JERA

Daripada Rosemarie Khoo Mohd Sani

SINGAPURA, 25 Okt (Bernama) -- Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga dan menarik pemaju pusat data bagi membuat pelaburan di negara ini, menurut syarikat penjanaan elektrik terbesar Jepun, JERA.

Namun, syarikat itu memberitahu, usaha untuk memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat turut memerlukan kapasiti penghantaran elektrik yang mencukupi selain akses kepada tanah dan sumber air.

Ad Banner

Ketua Pegawai Eksekutif JERA Asia Izumi Kai berkata berdasarkan unjuran JERA, Malaysia juga mempunyai potensi terbesar dalam kalangan negara Asia untuk meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga dan mengimport gas asli cecair (LNG) bagi memenuhi keperluan pusat data.

“Saya berpendapat banyak syarikat, bukan sahaja dari Jepun, malah pemaju pusat data yang berpotensi menyasarkan Malaysia kerana negara ini merupakan rakan kerjasama yang kukuh selain Thailand dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas taklimat media sempena Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) 2026.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau turut menekankan kepentingan mendapatkan kelulusan kawal selia dan penerimaan orang ramai bagi pembinaan pusat data.

Sementara itu, Kai menyatakan peningkatan permintaan elektrik daripada kecerdasan buatan (AI) dan pusat data turut menjadikan kepantasan untuk mendapatkan bekalan tenaga semakin penting.

“Bagi AI dan pusat data, perkara ini bukan sekadar mengenai akses kepada bekalan tenaga. Kepantasan mendapatkan bekalan tenaga juga sama penting,” katanya.

Kai seterusnya memaklumkan bahawa JERA sentiasa meneroka kaedah untuk memanfaatkan tapak penjanaan tenaga sedia ada bagi membekalkan elektrik yang stabil dengan lebih pantas selain memenuhi permintaan berkaitan AI tanpa menjejaskan momentum usaha penyahkarbonan.

“Pada masa yang sama, kita perlu memenuhi skala dan kepantasan permintaan AI tanpa menjejaskan momentum usaha penyahkarbonan melalui penyelesaian yang menggabungkan bekalan tenaga yang stabil, tenaga boleh baharu (TBB) dan bateri,” katanya.

Mengenai peranan LNG dalam menyokong permintaan tenaga di seluruh ASEAN, Kai memberitahu tiada satu hala tuju khusus bagi penggunaan bahan api itu di rantau ini, namun kebolehpercayaan bekalan kekal sebagai keutamaan bersama apabila permintaan elektrik dan kapasiti TBB terus meningkat.

Beliau berkata gas asli mampu membekalkan tenaga yang stabil dan fleksibel bagi mengimbangi sistem bekalan elektrik, meskipun peranannya berbeza mengikut pasaran.

“Justeru, apabila permintaan elektrik dan penggunaan TBB meningkat di rantau ini, gas asli boleh membekalkan tenaga elektrik yang stabil dan fleksibel bagi memastikan keseimbangan sistem bekalannya.

“Di sesetengah pasaran, gas asli akan kekal sebagai bahan api utama manakala di rantau lain, penggunaannya akan semakin berfungsi sebagai pelengkap kepada TBB,” katanya.

Kai turut memaklumkan bahawa meskipun modal tersedia untuk mempercepat pelaksanaan projek infrastruktur tenaga elektrik, projek-projek tersebut perlu berdaya maju dari segi kewangan bagi menarik pelaburan.

“Jadi, modal sudah tersedia, tetapi projek perlu memenuhi kriteria pembiayaan bank. Bagi projek infrastruktur jangka panjang, pelabur memerlukan prospek ekonomi yang boleh dijangka serta mekanisme perkongsian risiko yang bersesuaian.

“Projek penjanaan tenaga berasaskan LNG tidak boleh dibangunkan secara berasingan. Bekalan bahan api, infrastruktur dan penjanaan elektrik perlu dibangunkan secara serentak,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai keterjaminan tenaga, Kai berkata dunia perlu membina daya tahan di sepanjang keseluruhan rantaian nilai tenaga melalui kepelbagaian sumber bekalan, penggunaan aset sedia ada secara cekap dan gabungan tenaga yang seimbang.

Beliau menyifatkan peralihan tenaga memerlukan matlamat yang jelas tetapi pendekatan yang fleksibel memandangkan setiap negara perlu menangani cabaran semasa selain mengekalkan hala tuju penyahkarbonan jangka panjang masing-masing.

JERA ditubuhkan pada 2015 menerusi penggabungan bahagian bahan api dan tenaga haba Tokyo Electric Power Company dengan Chubu Power Company.

Syarikat itu turut menyumbang kira-kira 30 peratus daripada bekalan elektrik Jepun.

-- BERNAMA