BERITA TERKINI   Jerebu: Sekolah di Johor dibuka secara berfasa bermula esok, fasa pertama libatkan murid duduki peperiksaan- Exco | 

Cadangan Pengecualian Cukai Eksport MSM Masih Dalam Perbincangan - Noraini

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Cadangan pengecualian cukai eksport minyak sawit mentah (MSM) sebanyak 10 peratus bagi November masih di peringkat perancangan dan memerlukan perbincangan lanjut sebelum sebarang keputusan dibuat, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata cadangan itu dikemukakan oleh pihak industri dan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri berhubung perkara berkenaan sebelum ia dibawa untuk pertimbangan Kementerian Kewangan (MoF).

“Apa juga cadangan yang dibawa oleh industri, sudah semestinya keputusan itu perlu kita bawa kepada MoF. Setakat ini ia masih lagi di dalam perancangan dan memerlukan perbincangan lebih lanjut,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan majlis penutupan Acara Kemuncak Program Hackathon AI Muda@NADI 2026 di sini hari ini.

Ad Banner

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media tempatan mengenai cadangan  pengecualian cukai eksport MSM itu bagi mengatasi lebihan bekalan dan meningkatkan daya saing eksport.

Menurut Public Investment Bank Bhd (PIVB) cadangan berkenaan timbul ketika Malaysia berusaha untuk meningkatkan penghantaran minyak sawit di tengah-tengah paras inventori yang tinggi.

Sementara itu, Noraini memuji keupayaan pelajar sekolah memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menghasilkan inovasi yang berpotensi digunakan dalam sektor perladangan dan komoditi negara.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata kejayaan Kolej Vokasional Perdagangan Johor Bahru merangkul tempat pertama menerusi projek TerraScan dalam program Hackathon AI Muda@NADI 2026 membuktikan generasi muda mampu menghasilkan penyelesaian praktikal berasaskan teknologi.

Projek bagi mengenal pasti kualiti tanah dan data berkaitan komoditi perladangan itu menewaskan 25 pasukan finalis lain untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.

“TerraScan ini boleh menggunakan teknologi AI untuk menganalisis tanah dan sebagainya kerana kali ini ia memberi tumpuan kepada perladangan dan komoditi. 

“Malah, inovasi pelajar ini amat cemerlang kerana mampu dihubungkan terus dengan industri termasuk memaparkan rujukan harga di pasaran borong. Ini membuktikan anak-anak muda kita berupaya menggunakan kreativiti dan AI untuk sesuatu yang bermanfaat,” katanya.

Noraini menyifatkan penglibatan generasi muda dalam penerapan AI perlu terus digalakkan melalui pendedahan dan bimbingan sewajarnya bagi merangsang inovasi yang dapat memenuhi keperluan industri.

Program Hackathon@NADI 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dengan kerjasama CelcomDigi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Google for Education serta sokongan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) itu, turut merekodkan lebih 22,000 pensijilan AI.

-- BERNAMA