EXIM Bank Perkukuh Keupayaan Perniagaan Malaysia Menerusi Inisiatif Strategik Bernilai Lebih RM1 Bilion
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) akan memperkukuh keupayaan perniagaan Malaysia untuk bersaing di peringkat antarabangsa dan mengamalkan amalan mampan menerusi inisiatif strategik bernilai lebih RM1 bilion yang diamanahkan oleh kerajaan di bawah Belanjawan 2027.
Bank itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan peruntukan lebih RM1 bilion yang diamanahkan kepadanya akan membantu perusahaan mengembangkan perniagaan, mempelbagaikan pasaran dan membuat pelaburan secara mampan menerusi pembiayaan serta perlindungan kredit eksport.
Menurut EXIM Bank, sejumlah RM300 juta diperuntukkan di bawah Program Pecutan dan Pertumbuhan Tempatan untuk menyediakan pembiayaan mampu milik bagi membantu pengilang, penyedia perkhidmatan dan vendor tempatan meningkatkan kapasiti, menambah baik produktiviti serta memperkukuh daya saing.
"Dengan menyokong penyertaan mereka dalam rantaian nilai dan bekalan syarikat multinasional serta syarikat korporat tempatan terkemuka, termasuk dalam sektor strategik di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, program ini akan memperkukuh keupayaan perniagaan domestik dan memudahkan integrasi yang lebih mendalam ke dalam rangkaian serantau dan global," tambah bank itu.
Bagi meneruskan usaha itu, EXIM Bank berkata RM500 juta di bawah Skim Lonjakan Eksport akan membantu usahawan dan pengeksport Malaysia membangunkan keupayaan serta kemahiran untuk menembusi pasaran antarabangsa baharu atau memperluas kehadiran di pasaran sedia ada, termasuk pasaran baharu muncul dan bukan tradisional.
Bank itu turut memaklumkan skim berkenaan membantu perniagaan menangani persaingan yang semakin sengit dan peningkatan kos dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global dan geopolitik.
Bagi menyokong pengembangan pasaran, EXIM Bank menyatakan geran RM5 juta di bawah Malaysia Global Connect GoExport Cover akan menyediakan perlindungan kepada bakal pengeksport dan pengeksport sedia ada daripada risiko perdagangan komersial di pasaran baharu dan bukan tradisional, sekali gus membolehkan mereka meneroka peluang di luar negara dengan lebih yakin.
Selain pembangunan eksport, EXIM Bank memaklumkan pihaknya akan menyokong peralihan syarikat Malaysia ke arah operasi yang lebih mampan menerusi peruntukan RM400 juta di bawah Dana Kelestarian Alam 2.0.
Ia menambah program itu akan membiayai inisiatif rendah karbon untuk membantu perniagaan menerapkan kemampanan dalam pelaburan dan operasi mereka, di samping memajukan matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Malaysia menerusi pembiayaan pembangunan yang bertanggungjawab.
-- BERNAMA