BERITA TERKINI   HKHM sempena 70 tahun kemerdekaan negara tahun depan amat signifikan, persiapan awal perlu dilaksana pastikan penganjuran capai matlamat - Fahmi | HKHM 2026 tarik sumbangan berjumlah RM51.5 juta daripada 147 rakan strategik, ditonton jutaan rakyat secara fizikal dan menerusi siaran langsung - Fahmi | Setiap kementerian diseru anjur program ‘flagship’ masing-masing sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun depan - Fahmi | Lembaga Pengarah Matang Bhd menggantung tugas ketua pegawai kewangan yang juga ketua pegawai operasinya berkuat kuasa hari ini bagi memudahkan urusan penyiasatan dalaman | 

Kerajaan Guna Pendekatan NDI Pada 2027 Untuk Nilai Kelayakan Bantuan - Mohd Shahar

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan melaksanakan pendekatan pendapatan boleh guna bersih (NDI) pada 2027 bagi memastikan penilaian kelayakan bantuan mengambil kira faktor demografi dan liabiliti selain pendapatan, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata pendekatan itu lebih adil berikutan mengambil kira perbelanjaan asas dan faktor sosiodemografi dalam penilaian kedudukan isi rumah.

"Kerajaan akan memastikan setiap apa yang kita laksanakan ini akan mengambil kira bukan hanya kepada golongan bawahan tetapi juga merangkumi semua spektrum masyarakat Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai sama ada kerajaan bercadang melaksanakan pelan tindakan khusus bagi memperkukuh kedudukan ekonomi kelas menengah, merangkumi peningkatan pendapatan, pengurangan tekanan komitmen asas dan perluasan perlindungan sosial.

Terdahulu, menjawab soalan asal Jalaluddin mengenai penilaian kerajaan terhadap kedudukan sebenar kelas menengah, Mohd Shahar berkata dasar tidak boleh bergantung kepada anggaran pendapatan kasar semata-mata.

"Kementerian Ekonomi sedang berbincang dengan agensi berkaitan bagi melaksanakan projek rintis untuk memahami impak pelaksanaan pendekatan NDI terhadap kedudukan fiskal negara," kata beliau.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata berdasarkan Survei Pendapatan Isi Rumah 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kumpulan M40 mempunyai pendapatan kasar bulanan antara RM5,860 hingga RM12,679, dengan purata RM8,744 sebulan.

Dari segi perbelanjaan, beliau berkata data DOSM menunjukkan hampir 70 peratus pendapatan M40 dibelanjakan untuk kos asas, merangkumi perumahan dan utiliti sebanyak 22.7 peratus, makanan sebanyak 34.1 peratus serta pengangkutan sebanyak 10.6 peratus.

“Setelah ditolak komitmen perlindungan perubatan, baki pendapatan pada hujung bulan amat tipis,” katanya.

Sementara menunggu kaedah pengukuran baharu itu dimuktamadkan, Mohd Shahar berkata kerajaan menerusi Belanjawan 2027 menyediakan langkah untuk meringankan beban rakyat, termasuk kelas pertengahan meliputi aspek perumahan, pendidikan, kesihatan, percukaian dan gaji.

Beliau berkata sebahagian bantuan kerajaan juga telah mula beralih kepada pendekatan bantuan sejagat seperti BUDI95 dan Bantuan Awal Persekolahan yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia secara umum termasuk golongan kelas menengah.

Mengenai had pendapatan bagi kategori B40, M40 dan T20, beliau berkata had itu berubah mengikut survei pendapatan dan perbelanjaan isi rumah yang dilaksanakan dua kali dalam setiap Rancangan Malaysia.

Sebagai contoh, Mohd Shahar berkata julat pendapatan M40 meningkat daripada RM5,250 hingga RM11,819 pada 2022 kepada RM5,860 hingga RM12,679 pada 2024.

Survei seterusnya akan dilaksanakan pada 2027 dengan hasilnya diterbitkan pada 2028, katanya.

-- BERNAMA