Harga Minyak Mentah Brent Meningkat Susulan Serangan Houthi, Gangguan Perkapalan

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Harga minyak mentah Brent meningkat kepada US$117 (US$1=RM4.08) setong, didorong oleh peningkatan serangan Houthi terhadap infrastruktur Arab Saudi serta aliran minyak yang lebih perlahan melalui Selat Hormuz, menurut Rystad Energy.

Dalam nota hari ini, firma penyelidikan tenaga itu memaklumkan kadar tambang pengangkutan laut turut melonjak, dengan penghantaran minyak mentah Arab Saudi ke Asia semakin terpaksa menggunakan laluan yang lebih jauh dan mahal.

Perkembangan itu meningkatkan kos minyak yang dihantar ke destinasi akhir dan semakin diambil kira dalam kontrak niaga hadapan Brent, menurutnya.

Ad Banner
Ad Banner

Ketua Pakar Ekonomi Rystad Energy Claudio Galimberti berkata tekanan terhadap pasaran minyak berpunca daripada gangguan bekalan dan peningkatan kos pengangkutan.

“Serangan terhadap infrastruktur Arab Saudi dan pengurangan aliran minyak melalui Selat Hormuz mengetatkan bekalan, manakala kos pengangkutan dari Yanbu ke Ningbo meningkat dua kali ganda sejak awal September, menjadikan penghantaran minyak ke Asia lebih mahal.

“Tiada kelegaan segera yang dijangka bagi harga diesel di Amerika Syarikat (AS), sekali gus menjadikan kos tenaga isu politik yang merumitkan menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Galimberti berkata bank pusat turut berdepan dilema apabila kenaikan kadar faedah tidak dapat memulihkan bekalan minyak yang terganggu, sedangkan peningkatan kos tenaga menambah tekanan inflasi.

“Data ekonomi dan keputusan bank pusat minggu ini akan memberikan petunjuk mengenai daya tahan ekonomi global sekiranya gangguan bekalan tenaga berterusan, manakala laporan pendapatan syarikat teknologi gergasi akan memberi tumpuan kepada sama ada pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI) menjana pulangan yang mencukupi,” katanya.

Sementara itu, Rystad Energy memaklumkan prospek makroekonomi semakin menunjukkan gabungan pertumbuhan yang berdaya tahan dan inflasi berterusan, dengan guna tenaga serta aktiviti perniagaan AS kekal kukuh, manakala ekonomi China menunjukkan tanda-tanda sederhana ke arah penstabilan.

“Bagaimanapun, kos tenaga yang lebih tinggi merumitkan pelaksanaan dasar monetari,” menurutnya.

Firma itu menjangkakan Rizab Persekutuan AS (Fed), Bank Pusat Eropah (ECB) dan Bank of Japan mengekalkan kadar faedah pada mesyuarat minggu ini, manakala kemungkinan pengetatan dasar monetari selanjutnya pada Disember kekal menjadi perhatian pasaran.

Menurut Rystad Energy, keberkesanan kenaikan kadar faedah tambahan dalam menangani inflasi yang sebahagian besarnya berpunca daripada gangguan bekalan masih menjadi persoalan.

Sementara itu, firma itu memaklumkan peningkatan ancaman terhadap perkapalan di Laut Merah menyebabkan kapal yang membawa minyak mentah Arab Saudi menggunakan laluan lebih jauh, termasuk melalui Terusan Suez dan mengelilingi Tanjung Harapan.

Rystad Energy memaklumkan kadar tambang bagi laluan Yanbu-Ningbo melalui laluan berkenaan meningkat daripada US$24 setong pada awal September kepada US$48 setong pada 22 Okt.

Lonjakan kos pengangkutan itu melebarkan jurang antara harga eksport minyak Arab Saudi dengan kos penghantaran ke Asia, sekali gus mengurangkan pulangan bersih Saudi Aramco, menurut firma berkenaan.

-- BERNAMA