Unit Telechoice Dapat Kontrak Diperbaharui Bernilai S$1.3 Bilion Dari U Mobile
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Unit TeleChoice International Ltd yang tersenarai di Papan Utama Bursa Singapura, Planet Telecoms Managed Services Sdn Bhd (PTMS) akan terus menyediakan perkhidmatan rantaian bekalan secara menyeluruh kepada U Mobile Sdn Bhd selepas memperbaharui kontrak dengan anggaran nilai S$1.3 bilion (S$1=RM3.19).
Melalui satu kenyataan bersama, ia berkata lanjutan kontrak itu, mencerminkan skop perkhidmatan yang diperluas dan membawa nilai tahunan yang lebih tinggi daripada kontrak awal S$500 juta, tiga tahun yang dibuat pada Februari 2024, yang akan berkuat kuasa mulai Februari 2027 selama tiga tahun lagi dengan opsyen lanjutan selama dua tahun.
Di bawah perjanjian itu, PTMS bertindak sebagai rakan kongsi perolehan U Mobile, menguruskan rantaian bekalan perantinya dan menyelia keseluruhan kitaran hayat produk termasuk pengurusan stok, pergudangan, pemenuhan pesanan dan pengedaran, sambil membiayai inventori peranti serta menyediakan perlindungan insurans untuk penghantaran.
“Data masa nyata digunakan untuk memantau prestasi dan mengurus tahap stok dengan cekap,” katanya.
Presiden dan Ketua Pegawai Rksekutif TeleChoice, Pauline Wong ketika mengulas mengenai lanjutan kontrak tersebut berkata ia mencerminkan keyakinan yang kukuh dalam kumpulan itu serta turut melahirkan penghargaan atas perkongsian berterusan itu.
“Dalam tempoh tiga tahun sahaja, rangkaian yang kami uruskan untuk U Mobile telah berkembang daripada lebih 600 titik sentuh kepada lebih 1,000 titik sentuh di seluruh Malaysia, mencerminkan kerja keras pasukan PTMS kami dan kerjasama erat antara dua syarikat kami..
“Memandangkan U Mobile sedang meluaskan jangkauan rangkaian ULTRA5Gnya di seluruh negara, kami akan melabur lebih banyak dalam kakitangan, sistem dan automasi, selain membina pengalaman ini untuk membawa perniagaan perkhidmatan terurus kami lebih jauh ke seluruh rantau ini,” katanya.
-- BERNAMA