BERITA TERKINI   14,706 kandungan CSAM, 5,178 laman web lucah dan 828,438 kandungan judi dalam talian diturunkan sejak 2022 hingga Sept - Fahmi | Filem tayangan umum masih tertakluk penapisan LPF, 17 filem di bawah Skim Wajib Tayang kutip RM129.86 juta setakat 8 Okt - Fahmi | Persembahan artis luar negara kekal tertakluk kepada syarat dan garis panduan PUSPAL - Fahmi | Pengecualian penuh duti hiburan libat tiket tayangan filem dan teater tempatan, bukan konsert antarabangsa - Fahmi | Kerajaan sentiasa utamakan keseimbangan ekonomi, pengembangan industri kreatif & pembinaan sahsiah, nilai kerohanian masyarakat - Fahmi | 

Belanjawan 2027: Pelaburan RM1 Bilion Dalam Rekod Perubatan Elektronik Buka Peluang Industri Teknologi Kesihatan

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Pelaburan RM1 bilion bagi pelaksanaan sistem rekod perubatan elektronik (EMR) di seluruh negara dijangka membuka peluang jangka panjang kepada industri teknologi maklumat (IT) kesihatan, termasuk kesalingoperasian sistem dan pembangunan infrastruktur digital.

BMI, unit Fitch Solutions, memaklumkan pelaburan itu mencerminkan pendekatan lebih bersasar dalam perbelanjaan kesihatan, dengan penyedia perkhidmatan swasta, industri teknologi perubatan dan sektor kesihatan digital berpotensi mendapat manfaat meskipun pertumbuhan perbelanjaan awam lebih perlahan.

Bagaimanapun, jurang infrastruktur dan keupayaan digital di luar pusat bandar utama dijangka mengehadkan kadar penggunaan teknologi berkenaan, menurut unit penyelidikan itu dalam laporan tinjauan sektor kesihatan Malaysia yang dikeluarkan hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Menerusi Belanjawan 2027, peruntukan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) meningkat 2.6 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada RM47.7 bilion

Ketika membentangkan Belanjawan itu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melabur RM1 bilion bagi mempercepat pelaksanaan sistem EMR di fasiliti penjagaan kesihatan di seluruh negara.

BMI memaklumkan perbelanjaan akan lebih tertumpu kepada usaha menangani kekangan kapasiti tertentu, termasuk menyerap lebih 9,000 doktor kontrak ke jawatan tetap, yang dijangka membantu mengekalkan tenaga kerja, selain pembinaan sembilan fasiliti kesihatan baharu dan pelaburan berterusan dalam infrastruktur sedia ada.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Belanjawan itu turut menonjolkan kebergantungan Malaysia yang semakin meningkat terhadap kapasiti sektor swasta, dengan peningkatan peruntukan bagi perkhidmatan penyumberan luar serta penggunaan fasiliti swasta yang lebih meluas dijangka mengalihkan sebahagian besar aktiviti penjagaan kesihatan yang dibiayai kerajaan kepada penyedia swasta, sekali gus menyokong pertumbuhan sektor berkenaan.

“Perkembangan ini mendorong kami menyemak naik unjuran kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) perbelanjaan kesihatan swasta kepada 6.7 peratus daripada 6.5 peratus,” katanya.

Belanjawan itu menggariskan penekanan kerajaan yang semakin meningkat terhadap integrasi sektor awam dan swasta bagi memperluas kapasiti penjagaan kesihatan tanpa bergantung sepenuhnya pada peningkatan perbelanjaan awam yang lebih pesat.

Peruntukan RM200 juta bagi mendapatkan perkhidmatan penyumberan luar daripada penyedia swasta meningkat dengan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya, sekali gus membolehkan kerajaan memanfaatkan kapasiti sedia ada sektor swasta untuk mengurangkan tempoh menunggu dan kesesakan, berbanding memenuhi peningkatan permintaan semata-mata melalui peluasan sektor awam.

“Penggunaan fasiliti dan pakar swasta yang lebih meluas bagi merawat pesakit yang dibiayai kerajaan dijangka menyokong aktiviti hospital swasta dan perkhidmatan pesakit luar. Bagaimanapun, integrasi yang lebih meluas memerlukan pengurusan kontrak, penyelarasan dan pemantauan kawal selia yang berkesan bagi memastikan kemampuan kos dan kualiti perkhidmatan,”menurutnya.

Belanjawan itu turut memperuntukkan RM770 juta bagi peralatan perubatan canggih, yang menurut BMI dijangka meningkatkan perolehan peranti perubatan.

 

Kerajaan Tumpu Kepada Peningkatan Kecekapan Perbelanjaan Kesihatan 

 

Unit penyelidikan dan analisis itu memaklumkan secara keseluruhan, Belanjawan 2027 turut memperkukuh usaha berterusan Malaysia ke arah penyatuan fiskal dan peningkatan kecekapan perbelanjaan kesihatan.

“Kerajaan Malaysia akan terus mengimbangi peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan dengan keutamaan perbelanjaan yang lebih luas serta proses penyatuan fiskal secara berperingkat,” menurut BMI.

Menurutnya, perkembangan itu menandakan peralihan kembali kepada pertumbuhan peruntukan kesihatan yang lebih sederhana selepas beberapa tahun mencatatkan peningkatan pesat.

“Peralihan ini menunjukkan trajektori perbelanjaan jangka sederhana yang lebih terkawal, mencerminkan tekanan fiskal lebih luas yang dihadapi kerajaan di seluruh dunia, apabila populasi menua dan kos penjagaan kesihatan meningkat, sekali gus bersaing dengan keperluan lain terhadap kewangan awam,”  menurutnya.

Ketidaktentuan geopolitik dan konflik yang berterusan turut menambah tekanan berikutan peningkatan kos dan gangguan rantaian bekalan.

“Bagi Malaysia, tekanan ini akan meningkatkan penekanan terhadap kecekapan perbelanjaan, penetapan keutamaan dan penggunaan kapasiti sektor swasta yang lebih meluas, berbanding kembali kepada peningkatan peruntukan kesihatan dua digit secara berterusan,” menurut BMI.

Oleh itu, kerjasama awam-swasta, pendigitalan dan pelaburan yang lebih bersasar akan menjadi instrumen yang semakin penting untuk memperluas kapasiti perkhidmatan kesihatan secara berkesan sambil mengekalkan disiplin fiskal.

“Kami menjangkakan pendekatan yang lebih selektif ini berterusan dalam jangka sederhana, dengan penyatuan fiskal mengehadkan ruang untuk kembali kepada pertumbuhan pesat perbelanjaan kesihatan awam, sekali gus meningkatkan penekanan terhadap pelaburan bersasar, kapasiti sektor swasta dan penambahbaikan produktiviti,” menurutnya.

-- BERNAMA