MICCI Mudah Cara Hubungan Dagang Malaysia-Palestin Menerusi Pengiktirafan Halal JAKIM
KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) membantu memperkukuh hubungan perdagangan Malaysia dan Palestin selepas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengiktiraf Palestine Standards Institution (PSI) sebagai badan pensijilan halal asing di Palestin.
Dalam kenyataan hari ini, MICCI memaklumkan usaha itu berjaya direalisasikan menerusi penglibatan pihak PSI, Badan Pembangunan Halal (HDC) dan JAKIM.
Dewan perniagaan itu menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai satu pencapaian penting bagi perniagaan Palestin yang mahu menembusi pasaran Malaysia selain membuka peluang bagi produk Palestin memenuhi keperluan pensijilan halal Malaysia.
“Ini merangkumi produk seperti makanan dan minuman, bahan mentah, kosmetik dan produk penjagaan diri serta farmaseutikal yang tertakluk kepada keperluan import dan kawal selia Malaysia berkenaan,” maklum MICCI.
Sementara itu, Presiden MICCI Christina Tee berkata pengiktirafan PSI oleh JAKIM itu adalah satu pencapaian bermakna dalam memperkukuh hubungan perdagangan antara Malaysia dan Palestin.
“Menerusi usaha menghubungkan pihak berkepentingan yang berkaitan, kami berharap dapat membantu perniagaan Palestin menembusi pasaran baharu serta membina hubungan komersial yang lebih kukuh dengan Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, pencapaian berkenaan juga sejajar dengan langkah Dewan Perniagaan Antarabangsa (ICC) menyokong Inisiatif Pasaran Tunggal Palestin-OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) yang bertujuan memperluas akses produk Palestin ke pasaran 57 negara anggota OIC terbabit.
“MICCI akan terus menyokong penglibatan konstruktif dalam komuniti perniagaan antarabangsa dengan menghubungkan pihak berkepentingan berkaitan, memudah cara peluang yang dapat memperkukuh hubungan perdagangan dan meluaskan akses pasaran,” maklum MICCI.
-- BERNAMA