BERITA TERKINI   Sebanyak RM645,000 diperuntuk bagi pelaksanaan wakaf air, pemasangan kemudahan solar di masjid terpilih di Kelantan - PM Anwar | Kerajaan peruntuk RM2.5 juta untuk sedia kemudahan rawatan dialisis di beberapa masjid terpilih di Kelantan - PM Anwar | Institusi pendidikan pondok perlu kekalkan pengajian turath atau warisan keilmuan Islam, manfaat teknologi moden - PM Anwar | Institusi pondok berperanan sebagai benteng pertahankan akidah, akhlak, sahsiah dan adab - PM Anwar | Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor esok ditangguhkan ke 7 Nov - Istana Alam Shah | 

CIMB Islamic, PSDC Tawar Latihan Kemahiran Teknikal Kepada Belia Kurang Berkemampuan

GEORGE TOWN, 31 Okt (Bernama) -- CIMB Islamic Bank Bhd, dengan kerjasama Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC), memperkenalkan program latihan kemahiran teknikal untuk membantu golongan belia kurang berkemampuan mendapatkan pekerjaan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta pembuatan di Malaysia.

Dalam kenyataan bersama, CIMB dan PSDC memaklumkan Program Kemahiran Teknikal dan Pekerjaan iTEKAD CIMB Islamic yang dilancarkan secara rasmi hari ini menyasarkan 40 peserta dalam dua kumpulan, masing-masing terdiri daripada 20 peserta, dengan setiap kumpulan mengikuti latihan selama tiga bulan merangkumi sejumlah 480 jam.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata inisiatif seperti program itu mampu merapatkan jurang antara potensi dengan peluang, sekali gus membolehkan lebih ramai golongan belia Malaysia menyertai ekosistem perindustrian negeri yang semakin berkembang.

Ad Banner
Ad Banner

Program yang dilaksanakan menerusi Program Bakat Pembuatan Masa Depan PSDC itu merangkumi asas pembuatan, pemasangan semikonduktor dan elektronik, teknik pemasangan berketepatan tinggi, pemeriksaan kualiti, keselamatan pekerjaan serta persediaan memasuki alam pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata inisiatif itu merupakan usaha pertama bank berkenaan untuk menyediakan laluan alternatif kepada golongan belia yang kurang mendapat akses kepada peluang pendidikan dan latihan bagi memperoleh kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau berkata inisiatif itu turut menyokong pembangunan sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi, khususnya sektor E&E dan pembuatan termaju yang menawarkan peluang pekerjaan yang luas.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Melalui iTEKAD Kerjaya, kami berharap dapat menyediakan laluan alternatif kepada golongan belia yang kurang mendapat akses kepada peluang untuk memperoleh kemahiran yang relevan dengan keperluan industri, mendapatkan pekerjaan yang bermakna dan meningkatkan prospek ekonomi jangka panjang mereka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan PSDC Glen Brownlie berkata program itu dirangka bukan sahaja untuk memenuhi permintaan industri terhadap tenaga kerja berkemahiran, malah turut menyediakan asas kepada peserta untuk membangunkan kerjaya dalam jangka panjang.

Program itu menawarkan latihan teknikal yang dibiayai sepenuhnya, selain elaun bulanan sebanyak RM1,000 kepada peserta yang layak sepanjang tempoh latihan tiga bulan bagi membantu menampung perbelanjaan makanan, pengangkutan dan penginapan.

Proses pengambilan peserta akan tertumpu di Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak, tetapi permohonan juga dibuka kepada rakyat Malaysia yang layak dan mampu menghadiri latihan itu di Pulau Pinang.

Selepas berjaya menamatkan latihan, peserta akan menerima Sijil Tamat Latihan PSDC dan turut mendapat bantuan penempatan pekerjaan menerusi rangkaian industri PSDC.

Program itu turut merangkumi sesi literasi kewangan, kesedaran mengenai penipuan dan perbankan Islam yang dikendalikan oleh CIMB Islamic.

Selain itu, peserta yang layak akan menerima perlindungan takaful individu bagi memperkukuh daya tahan kewangan mereka ketika beralih ke alam pekerjaan.

--BERNAMA