BERITA TERKINI   Kerajaan luluskan peruntukan lebih RM250 juta untuk memperkukuh pembangunan ECRL di Kelantan - MOF | Kanak-kanak lelaki enam tahun maut terjatuh dalam kolam takungan di Kulai, Johor - Bomba | Bayaran STR bagi pemohon baharu dan rayuan diluluskan dibuat mulai 16 Nov - MOF | Bayaran kepada penerima sedia ada STR dibuat secara berperingkat mulai 4 hingga 6 November 2026 -- MoF | Kerajaan salurkan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 berjumlah RM1.1 bilion kepada 5.4 juta penerima – MoF | 

MAG Laksanakan Projek Strategik Bagi Pacu Pengembangan Komersial

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Malaysia Aviation Group (MAG) sedang giat melaksanakan beberapa projek strategik utama bagi meningkatkan kapasiti serta mempercepat pengembangan komersial kumpulan itu.

Usaha ini termasuk pelaburan berterusan dalam pemodenan kumpulan pesawat, peluasan rangkaian penerbangan dan pembangunan infrastruktur yang lebih luas, termasuk pembinaan kemudahan katering dalam pesawat yang baharu.

Dalam kenyataan hari ini, kumpulan penerbangan itu memaklumkan, bagi membiayai inisiatif berkenaan secara mampan, kumpulan itu sentiasa menilai pelbagai pilihan modal secara proaktif termasuk cadangan program sukuk yang selaras dengan pelan hala tuju kewangan jangka panjangnya.

Ad Banner
Ad Banner

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan MAG Kapten Nasaruddin A Bakar berkata hala tuju kumpulan itu di bawah Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP3.0) adalah berpandukan perancangan kewangan yang kukuh, ketelitian operasi dan keutamaan komersial yang jelas.

Beliau berkata penarafan kredit terbaharu oleh MARC Ratings berdasarkan penilaian terhadap cadangan program kertas komersial Islam dan program nota jangka sederhana Islam (program sukuk) kumpulan itu, telah menyokong hala tuju strategiknya ketika MAG merancang perkembangan perniagaan melangkaui 2030.

“Kami kekal tertumpu untuk meneruskan pertumbuhan secara berperingkat dan terancang termasuk menambah baik rangkaian penerbangan serta perkhidmatan dalam pesawat selain memperluas keupayaan teknikal dalam penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Pelaburan ini turut menyumbang kepada aspirasi Malaysia untuk menjadi hab aeroangkasa serantau yang terkemuka dan menyokong pembangunan ekosistem penerbangan negara,” menurutnya.

Beliau berkata MAG akan terus mengekalkan tadbir urus fiskal yang ketat dan pendedahan maklumat pasaran yang sewajarnya sepanjang pelaksanaan pelan hala tuju pertumbuhannya.

Sementara itu, menurutnya penilaian terbaharu oleh MARC Ratings mencerminkan prestasi operasi kumpulan yang konsisten, disiplin kewangan serta pelaksanaan strategi yang berterusan di bawah LTBP3.0, yang turut merangkumi penarafan kredit pertama bagi MAG oleh agensi itu, yang mencapai penarafan tertinggi yang boleh diberikan.

“Penilaian ini mengukuhkan kedudukan strategik MAG sebagai syarikat induk kepada syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines Bhd dan penyedia perkhidmatan penerbangan bersepadu terkemuka di Malaysia.

“Ini mencerminkan keyakinan terhadap hala tuju jangka panjang kumpulan, yang disokong oleh penyelarasan strategik yang kukuh dengan pemegang saham majoriti MAG Khazanah Nasional Bhd,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA