BERITA TERKINI   PM Anwar hadiri majlis pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina, pagi ini | 

SOLIDWORKS Perkukuh Penggunaan AI Dalam Kejuruteraan Menjelang 2027

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- SOLIDWORKS, perisian reka bentuk dan kejuruteraan berbantukan komputer (CAD/CAE) milik Dassault Systèmes yang berpangkalan di Perancis, merancang untuk mempertingkat aliran kerja kejuruteraan berasaskan kecerdasan buatan (AI), menambah baik pembantu maya serta mengintegrasikan pengesahan reka bentuk menjelang 2027.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Manish Kumar berkata syarikat itu berhasrat membantu jurutera dan pengeluar memperkemas pembangunan produk, meningkatkan ketepatan reka bentuk serta mempercepat peralihan daripada peringkat konsep kepada pembuatan, khususnya ketika industri semkain rancak menggunakan AI untuk meningkatkan nilai dalam rantaian nilai.

Ad Banner
Ad Banner

“Kami mahu beralih daripada niat kepada pelaksanaan... dengan membolehkan pengguna hanya menyatakan perkara yang ingin mereka lakukan. Sebagai contoh, seorang jurutera yang sedang mengusahakan pemasangan komponen mungkin ingin memahami bagaimana beban dipindahkan dari motor hingga ke gandar. Daripada perlu meneliti pelbagai arahan, kami mahu memberikan maklumat itu secara langsung.

“Matlamatnya adalah untuk beralih daripada pendekatan yang memerlukan arahan satu demi satu kepada model yang membolehkan pengguna melaksanakan aliran kerja mereka dengan lebih lancar,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata syarikat itu juga merancang untuk menambah baik pembantu mayanya, iaitu Leo, Aura dan Marie, yang diintegrasikan dalam aplikasi syarikat bagi membolehkan pengguna berinteraksi dengan perisian itu dan mendapatkan panduan menerusi bahasa semula jadi.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pembantu maya itu akan disokong oleh satu kerangka yang merangkumi tiga lapisan iaitu pembantu maya, kompetensi dan kemahiran, bagi memenuhi keperluan pelbagai disiplin kejuruteraan dan aliran kerja.

“Pada asasnya, keupayaan pembantu maya ini dipertingkat dengan kompetensi, dan setiap kompetensi mempunyai kemahiran khusus. Sebagai contoh, reka bentuk mekanikal mungkin melibatkan kemahiran menghasilkan reka bentuk terperinci, membangunkan reka bentuk konsep dan menyediakan lukisan teknikal yang sedia untuk pembuatan.

“Oleh itu, keutamaan kedua kami adalah untuk terus menambah baik keupayaan ini bagi memastikan ia dapat menyokong pelbagai aliran kerja yang ingin digunakan pengguna dalam peralihan daripada niat kepada pelaksanaan,” katanya.

Manish berkata SOLIDWORKS juga berhasrat menjadikan pengesahan reka bentuk sebagai bahagian penting dalam proses kejuruteraan, khususnya ketika AI membolehkan pereka menghasilkan pelbagai pilihan reka bentuk dengan lebih pantas dan pada kos lebih rendah.

Keadaan ini menjadikan penilaian untuk menentukan reka bentuk yang paling sesuai bagi pengeluaran semakin penting, dengan proses pengesahan tidak lagi terhad kepada aspek konvensional seperti kekuatan struktur dan ketahanan terhadap beban berulang.

“Pengesahan tidak seharusnya terhad kepada kekuatan struktur atau ketahanan terhadap beban berulang. Ia perlu merangkumi setiap aspek, termasuk sama ada sesuatu reka bentuk itu cukup kukuh, berapa lama ia boleh bertahan, sama ada ia boleh dihasilkan dan apakah kesannya terhadap alam sekitar.

“Ini penting kerana jika AI dapat menyediakan semua keupayaan pengesahan ini ketika sesuatu produk sedang direka, kita akan melihat satu perubahan yang menyeluruh. Pereka akan lebih yakin bahawa produk yang dibangunkan berdaya maju dan akhirnya boleh dihasilkan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata SOLIDWORKS turut menyokong pembangunan bakat tempatan menerusi Program Skills Force, yang menyediakan lesen perisian percuma kepada syarikat yang mengambil pelatih industri.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kumpulan tersebut untuk menyokong pembangunan kemahiran serta memupuk generasi bakat kejuruteraan masa depan.

“Ia merupakan inisiatif global yang menyokong syarikat dalam mengambil pelatih industri atau perantis untuk mendapatkan pengalaman kerja praktikal.

“Usaha ini memberi manfaat khususnya di Malaysia, memandangkan negara ini mempunyai sektor pembuatan yang besar, sekali gus membolehkan lebih banyak syarikat memanfaatkan inisiatif berkenaan, katanya.

Menurut Manish, SOLIDWORKS versi pelajar disediakan secara percuma mulai Julai tahun ini bagi membolehkan pelajar di seluruh dunia memuat turun dan menggunakan perisian itu untuk membangunkan kemahiran teknikal serta membuat persediaan sebelum memasuki alam pekerjaan.

-- BERNAMA