BERITA TERKINI   Ahmad Zahid cadang lanjut tempoh latihan PLKN kepada 90 hari atau 180 hari | Kerajaan kaji kaedah manfaatkan tenaga bekas pelatih PLKN sebagai sukarelawan bencana - TPM Ahmad Zahid | KEB Bhd yang mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia dibuka mendatar pada 35 sen, dengan 9.51 juta saham diniagakan | 

PAC Gesa MOF, MOT Pastikan Laporan Kewangan MAHB Diterbitkan Secara Berkala

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) --  Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) memastikan laporan kewangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) diterbitkan secara berkala, khususnya berkaitan projek berkeutamaan tinggi seperti aerotrain, sistem pengendalian bagasi dan pembesaran lapangan terbang.

Pengerusinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata status penyahsenaraian MAHB daripada Bursa Malaysia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengurangkan ketelusan kepada orang awam.

“Tuntutan ini adalah selari dengan hasrat penggubalan Rang Undang-undang Entiti Milik Kerajaan dan Akta Perolehan Kerajaan sepertimana yang diumumkan dalam Belanjawan 2027,” katanya dalam sidang media selepas membentangkan Penyata Tindakan Susulan Pengurusan Lapangan Terbang Awam di Dewan Rakyat hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Mas Ermieyati berkata perkara itu merupakan antara empat ketetapan utama PAC terhadap maklum balas MOF, MOT dan MAHB bagi memastikan pengurusan aset strategik negara beroperasi pada tahap optimum.

Selain itu, jawatankuasa itu turut menolak pendekatan pengurusan bersifat reaktif dan budaya kerja secara 'silo' dalam kalangan kementerian, agensi serta pihak berkepentingan.

Sebaliknya, perancangan jangka panjang lapangan terbang perlu mengambil kira input operasi daripada syarikat penerbangan teras seperti Malaysia Aviation Group (MAG), AirAsia dan Batik Air, termasuk aspek operasi bawah sayap (below-wing operations).

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata PAC turut menegaskan bahawa kesemua 39 lapangan terbang awam kekal sebagai aset strategik milik kerajaan di bawah Perjanjian Operasi (OA).

Katanya, kawalan strategik majoriti sekurang-kurangnya 70 peratus oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta pegangan Saham Khas (Golden Share) oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) perlu dipertahankan sepenuhnya.

“Sebarang cadangan perubahan struktur pemilikan yang melibatkan kepentingan strategik negara wajib mendapat kelulusan Jemaah Menteri dan dilaksanakan secara telus,” katanya.

Mas Ermieyati berkata PAC turut mengesyorkan langkah tegas dalam proses pemilihan kontraktor bagi memastikan kegagalan kemudahan asas tidak berulang.

PAC juga mengesyorkan langkah pengenaan penalti kewangan yang tegas di bawah Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan (QoS) Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

-- BERNAMA