Pelan Hala Tuju CCUS 2050 Garis 27 Inisiatif, Unjur Pelaburan Sehingga RM170 Bilion
KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Pelan Hala Tuju Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2050 menggariskan 27 inisiatif dengan unjuran pelaburan antara RM160 bilion dan RM170 bilion serta potensi pembangunan sehingga enam hab CCUS di Malaysia menjelang 2050, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata industri itu diunjurkan menjana nilai ditambah kasar terkumpul antara US$200 bilion dan US$250 bilion serta mewujudkan antara 150,000 dan 250,000 pekerjaan langsung dan tidak langsung pada kemuncak operasi.
“Kerajaan telah mengenal pasti empat projek utama di bawah pelan hala tuju itu, termasuk pembangunan tapak penyimpanan karbon di Duyong, berhampiran Pahang.
“Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan menerajui inisiatif itu dengan sasaran suntikan komersial pertama karbon dioksida (CO2) menjelang 2030,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pelan Hala Tuju CCUS 2050 hari ini.
Beliau berkata pengalaman Malaysia dalam menguruskan industri minyak dan gas turut membekalkan kepakaran yang boleh dimanfaatkan untuk membangunkan industri CCUS, khususnya dalam penyimpanan karbon.
“Bagi pembangunan CCUS di Pantai Timur, pemerangkapan karbon akan dilakukan di Terengganu manakala terminalnya akan dibangunkan di Pahang. Kedua-dua negeri tersebut berpeluang meraih manfaat ekonomi daripada pembangunan industri itu, sekali gus membuka peluang pekerjaan di luar Lembah Klang,” katanya.
Mengenai kerjasama serantau, Akmal Nasrullah berkata Malaysia sedang mengadakan perbincangan dengan Jepun, Korea Selatan dan Singapura berhubung CCUS, dengan memorandum persefahaman berkaitan kerjasama itu dijangka dimeterai tahun depan.
-- BERNAMA