BERITA TERKINI   Amaran hujan berterusan di seluruh Terengganu dan beberapa kawasan di Kelantan hingga 27 Nov -MetMalaysia | Kerajaan Turkiye tidak bersedia terima pelarian Rohingya - PM Anwar | Petronas Chemicals kembali catat untung pada suku ketiga, dengan keuntungan bersih RM179 juta | Perak umum Bantuan Khas Kewangan dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri - Menteri Besar | Perak bentang Belanjawan 2027 berjumlah RM1.693 bilion, merangkumi RM1.1 bilion perbelanjaan mengurus dan RM593 juta pembangunan | 

Petronas Perluas Keupayaan LNG Terapung Dengan Kemudahan Pinggir Pantai Pertama Dunia

Daripada Siti Radziah Hamzah

GEOJE ISLAND (Korea Selatan), 24 Nov (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sedang memperluas keupayaan kemudahan gas asli cecair terapung (FLNG) miliknya melalui kemudahan ketiga dan terbaharu, PFLNG Tiga.

Kemudahan ini merupakan pembangunan FLNG pinggir pantai yang pertama di dunia dan bakal memperkukuh keupayaan Petronas untuk memanfaatkan sumber gas dalam pelbagai keadaan operasi.

Ad Banner

PFLNG Tiga dibina oleh konsortium terdiri daripada JGC Corporation (Jepun) dan Samsung Heavy Industries (Korea Selatan), yang memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan, dan pentauliahan (EPCC) pada Disember 2022.

PFLNG Tiga merupakan kerjasama FLNG Petronas-JGC- Samsung Heavy Industries kedua selepas PFLNG Dua.

Naib presiden eksekutif dan ketua pegawai eksekutif perniagaan gas dan maritim Petronas Datuk Adif Zulkifli berkata Petronas telah berkembang daripada pengeluaran LNG di perairan cetek melalui PFLNG Satu pada 2016 kepada operasi di perairan dalam menerusi PFLNG Dua, sebelum melangkah ke pengeluaran di kawasan pinggir pantai dengan PFLNG Tiga.

Ad Banner
Ad Banner

"Usaha ini bukan sekadar untuk menjadi yang pertama semata-mata. Ia berlandaskan kepada kesediaan kita untuk melangkaui pendekatan konvensional, menyesuaikan teknologi kita dengan keadaan operasi yang berbeza, serta mencari cara praktikal untuk memanfaatkan sumber gas," katanya pada majlis merasmikan nama PFLNG Tiga, di sini, hari ini.

Upacara tersebut berlangsung di Limbungan Kapal Samsung Heavy Industries di sini dan dirasmikan oleh Datin Azmah Azman selaku Lady Sponsor PFLNG Tiga.

Turut hadir ialah presiden JGC Corporation Shoji Yamada, presiden Samsung Heavy Industries Lee Wang-geun serta Duta Besar Malaysia ke Republik Korea Datuk Mohd Zamruni Khalid.

Adif berkata PFLNG Tiga juga akan mengukuhkan kedudukan Petronas sebagai pembekal LNG global dengan meningkatkan keupayaannya untuk memenuhi keperluan pelanggan merentasi pelbagai pasaran dan persekitaran operasi.

Kemudahan itu yang kini sedang dalam pembinaan akan ditempatkan di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang, Sabah dan dijangka memulakan operasi pada suku ketiga 2027 dengan sasaran untuk belayar pergi ke lokasi tersebut pada pertengahan Februari 2027.

PFLNG Tiga yang direka bentuk dengan kapasiti pengeluaran sebanyak dua juta tan setahun (mtpa) berukuran 281 meter panjang, 64 meter lebar dan 32 meter dalam.

PFLNG Satu dan PFLNG Dua mempunyai gabungan kapasiti pengeluaran sebanyak 2.7 mtpa.

Mula beroperasi pada 2016 sebagai unit FLNG pertama di dunia dengan kapasiti 1.2 mtpa, PFLNG Satu pada asalnya ditempatkan di Kluster Kumang di luar pantai Sarawak, sebelum dipindahkan ke medan Kluster Kebabangan di luar pantai Sabah pada 2019.

PFLNG Dua, yang memulakan pengeluaran pada Februari 2021 dengan kapasiti 1.5 mtpa, merupakan kemudahan FLNG perairan dalam yang pertama di dunia, beroperasi pada kedalaman air sehingga 1,500 meter di medan gas Rotan, Blok H, yang terletak 140 kilometer di luar pantai Kota Kinabalu, Sabah.

 -- BERNAMA