Prospek Positif Terhadap Malaysia Pacu Ringgit Mengukuh Berbanding Dolar AS
Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Khamis ketika pelabur kekal optimis terhadap prospek Malaysia sehingga 2027.
Pada 6 petang, unit tempatan itu meningkat ke paras 4.1135/1175 berbanding dolar AS daripada penutup semalam di paras 4.1170/1220.
Sentimen positif itu turut didorong oleh ulang tahun keempat pentadbiran Kerajaan MADANI pada 2 November yang hanya mengukuhkan lagi keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi Malaysia.
Pada masa sama, ekonomi Malaysia juga di landasan pertumbuhan menerusi kerangka Ekonomi MADANI dengan usaha penyusunan semula ekonomi dijangka menyuntik manfaat jangka panjang lebih menyeluruh, khususnya dari segi produktiviti selain peningkatan nilai tambah domestik dan kesejahteraan rakyat.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pengukuhan nilai ringgit itu turut didorong terutamanya oleh faktor teknikal selain ringgit dianggap di bawah nilai sebenar atau nilai wajarnya di pasaran.
“Peniaga mungkin melihat ringgit sebagai mata wang yang bernilai untuk dibeli selepas mengalami sedikit pembetulan teknikal,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kelompok mata wang utama lain pada akhir urus niaga hari ini.
Ringgit rendah berbanding euro kepada 4.5133/5177 daripada 4.5036/5091 semalam, turun berbanding pound Britain kepada 5.3924/3976 daripada 5.3756/3821 serta susut berbanding yen Jepun ke paras 2.5834/5860 daripada 2.5820/5853.
Berbanding mata wang negara-negara ASEAN, ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1878/1911 daripada 3.1858/1899 namun mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 224.0/224.3 daripada 224.6/224.9.
Bagaimanapun, ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 12.0712/0875 daripada 12.0599/0798 dan rendah berbanding peso Filipina kepada 6.45/6.46 daripada 6.46/6.48.
-- BERNAMA