BERITA TERKINI   Kerajaan Turkiye tidak bersedia terima pelarian Rohingya - PM Anwar | Petronas Chemicals kembali catat untung pada suku ketiga, dengan keuntungan bersih RM179 juta | Perak umum Bantuan Khas Kewangan dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri - Menteri Besar | Perak bentang Belanjawan 2027 berjumlah RM1.693 bilion, merangkumi RM1.1 bilion perbelanjaan mengurus dan RM593 juta pembangunan | PM Anwar nafi dakwaan kerajaan sebar minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan | 

Malaysia Perkukuh Tenaga Kerja Ladang Pastikan Pengeluaran Sawit Konsisten - Johari

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Kerajaan, menerusi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), komited memastikan setiap ladang sawit mempunyai tenaga kerja yang mencukupi supaya pengeluaran konsisten dan tidak terjejas.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kekurangan pekerja boleh menyebabkan buah sawit yang telah masak tidak dapat dituai, sekali gus menjejaskan pengeluaran.

“Bagi pekebun kecil, kerajaan akan memastikan mereka menggunakan bahan penanaman yang baik, (mengamalkan) amalan pertanian yang baik supaya hasil meningkat dan kos pengeluaran dapat dikurangkan selain dapat lebih banyak permintaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Ad Banner

Beliau menjawab soalan tambahan Edwin anak Banta (GPS-Selangau) mengenai langkah kementerian menangani penurunan harga kelapa sawit termasuk strategi untuk menstabilkan harga, meningkatkan permintaan dan mencari pasaran baharu.

Johari turut menegaskan harga komoditi tidak boleh ditetapkan oleh mana-mana pihak kerana ia bergantung pada faktor penawaran dan permintaan.

Katanya faktor ini sangat penting untuk memastikan pengeluaran meningkat dan kos menurun apabila buah yang dihasilkan bernilai tinggi.

Ad Banner
Ad Banner

Menjawab soalan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) mengenai keberkesanan Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) serta Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) dalam mengurangkan kebergantungan pada pekerja asing, Johari berkata mekanisasi diperkenalkan sebagai penyelesaian kerana sektor ini masih kurang diminati oleh tenaga kerja tempatan.

“Oleh kerana kerja-kerja ini masih tidak diminati oleh tenaga kerja tempatan, mekanisasi diperkenalkan sebagai penyelesaian. Kini, dengan penggunaan teknologi, kebergantungan pada tenaga buruh semakin berkurangan tetapi masih belum mencukupi,” katanya.

Beliau berkata banyak inovasi telah diperkenalkan dalam sektor perladangan tetapi ada yang tidak praktikal untuk pelaksanaan berskala besar.

Selain mekanisasi, beliau menekankan kepentingan kadar penanaman semula dalam memastikan produktiviti ladang yang berterusan.

“Jika kita ingin meningkatkan hasil, kita mesti mencapai kadar penanaman semula sekurang-kurangnya empat peratus.

“Ketika ini, kadar tersebut hanya sekitar dua hingga tiga peratus, menunjukkan banyak pokok sawit yang sudah tua,” katanya.

-- BERNAMA