BERITA TERKINI   Kejayaan pemulihan aset ini bukti keupayaan serta komitmen berterusan SPRM dalam membawa pulang aset yang diperoleh secara tidak sah - SPRM | Jumlah pemulihan aset 1MDB setakat ini adalah RM29,752,034,475.13 iaitu 70 peratus daripada RM42 bilion yang dipercayai diselewengkan - SPRM | 341 pengamal media terima manfaat Tabung Kasih@Hawana sejak diperkenal pada April 2023 - Fahmi | KLIA disenaraikan antara 10 lapangan terbang terbaik dunia dalam kaji selidik ASQ 2024 untuk lapangan terbang yang mengendalikan lebih 40 juta penumpang setahun - MAHB | Sistem pemilihan ePlacement akan ditukar daripada kaedah berdasarkan pendaftaran terawal kepada sistem berasaskan merit yang lebih telus - KP Kesihatan | 
Ad Banner

Pavilion REIT Catat Untung Bersih RM409.92 Juta Bagi Tahun Kewangan 2024

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM409.92 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2024 (TK2024) daripada RM431.79 juta tahun lepas.

Penurunan itu disebabkan oleh kos pinjaman yang lebih tinggi berikutan pengeluaran pinjaman tambahan untuk pemerolehan hartanah pelaburan.

Bagaimanapun, hasil untuk TK2024 meningkat 17 peratus atau RM122.1 juta kepada RM845.87 juta daripada RM723.81 juta sebelumnya, terutamanya disumbangkan oleh pendapatan daripada hartanah baharu seperti Pavilion Bukit Jalil yang diperoleh pada 1 Jun, 2023 dan pendapatan sewa yang lebih tinggi daripada Pavilion Kuala Lumpur Mall.

Ad Banner

“Jumlah perbelanjaan bagi operasi hartanah yang ditanggung adalah lebih tinggi sebanyak RM58.4 juta atau 22 peratus berbanding tahun sebelumnya, disebabkan perbelanjaan operasi yang ditanggung untuk hartanah baharu, penggantian alat ganti/penyelenggaraan usang atau penuaan di hartanah serta pengubahsuaian lobi lif dan tandas di Pavilion Tower.

“Kos utiliti juga lebih tinggi disebabkan penggunaan tambahan akibat cuaca panas dan langganan tarif elektrik hijau daripada Tenaga Nasional Bhd,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pavilion REIT juga mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah kepada RM180.69 juta bagi suku keempat berakhir 31 Dis, 2024 (S42024) daripada RM228.27 juta pada S42023.

Ad Banner

Bagaimanapun, hasil untuk S42024 meningkat lima peratus kepada RM218.80 juta daripada RM208.22 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, terutama disumbangkan oleh pendapatan sewa yang lebih tinggi dan hasil daripada pusat pameran di Pavilion Bukit Jalil.

Dalam kenyataan berasingan, ia berkata melalui penambahbaikan aset strategik dan penyusunan serta pemilihan runcit yang berpandangan ke hadapan, REIT berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi 2025 dengan yakin, berdaya tahan dan visi yang jelas untuk pertumbuhan yang mampan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pavilion REIT Management Sdn Bhd Datuk Philip Ho berkata dengan ruang yang besar untuk pertumbuhan sewa, ia percaya potensi itu akan direalisasikan secara progresif pada setiap perubahan dalam sewa semasa pajakan diperbaharui.

“Pavilion Bukit Jalil terus menjadi pemacu pertumbuhan untuk Pavilion REIT dan kami menjangkakan ia menyumbang secara positif kepada keseluruhan portfolio dan memacu pengembangan masa depan,” katanya.

-- BERNAMA