BERITA TERKINI   Harga petrol RON97 kekal pada kadar RM4.35 seliter bagi tempoh 18 hingga 24 Jun - MOF | Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia turun 30 sen kepada RM4.37 seliter bagi tempoh 18 hingga 24 Jun - MOF | ASEAN dan Rusia mampu menyumbang secara bermakna dengan memperkukuh kerjasama praktikal berasaskan saling menghormati, keterbukaan dan kepentingan bersama - PM Anwar | ASEAN dan Rusia mampu pupuk ekonomi global lebih berdaya tahan, inklusif dan makmur dengan membina hubungan lebih kukuh antara perniagaan, institusi dan masyarakat - PM Anwar | ASEAN terus percaya bahawa kemajuan ekonomi adalah paling baik digerakkan menerusi kerjasama dan bukannya konfrontasi, serta libat urus dan bukannya peminggiran - PM Anwar | 

Visi Tun Abdullah Jadikan Malaysia Peneraju Industri Halal Global Masa Kini

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Visi Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam merealisasikan industri halal sebagai sumber ekonomi negara menjadikan Malaysia sebagai peneraju industri halal global sehingga masa kini, menurut Halal Development Corporation (HDC).

Pengerusinya, Khairul Azwan Harun berkata Perdana Menteri kelima itu merupakan tokoh penting yang mencadangkan dan mencetuskan idea penubuhan HDC pada 2006 serta memainkan peranan ketara dalam memajukan industri halal di Malaysia.

Ad Banner
Ad Banner

“Dengan berat hati dan penuh dukacita, seluruh ahli lembaga pengarah, pengurusan dan warga kerja HDC mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Tun Abdullah.

“Kami amat menghargai jasa dan sumbangan beliau dalam mengembangkan ekonomi halal negara. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah,” kata beliau ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Abdullah atau lebih dikenali sebagai "Pak Lah", menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 7.10 malam, Isnin.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

 Dalam pada itu, Khairul Azwan berkata, HDC akan terus memperjuangkan visi Abdullah bagi memantapkan Malaysia sebagai pusat halal global. ‎

HDC yang ditubuhkan pada 18 Sept, 2006 merupakan peneraju utama kepada pembangunan ekosistem dan infrastruktur halal yang bersepadu dan komprehensif serta kini berada di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI).

Abdullah yang mengumumkan penubuhan HDC sewaktu Forum Halal Sedunia pada 2006, mewujudkan satu platform khas bagi membolehkan negara muncul sebagai peneraju industri tersebut dalam landskap global bersandarkan kekuatan Malaysia, terutamanya dalam pensijilan halal.

-- BERNAMA