BERITA TERKINI   Harga petrol RON97 kekal pada kadar RM4.35 seliter bagi tempoh 18 hingga 24 Jun - MOF | Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia turun 30 sen kepada RM4.37 seliter bagi tempoh 18 hingga 24 Jun - MOF | ASEAN dan Rusia mampu menyumbang secara bermakna dengan memperkukuh kerjasama praktikal berasaskan saling menghormati, keterbukaan dan kepentingan bersama - PM Anwar | ASEAN dan Rusia mampu pupuk ekonomi global lebih berdaya tahan, inklusif dan makmur dengan membina hubungan lebih kukuh antara perniagaan, institusi dan masyarakat - PM Anwar | ASEAN terus percaya bahawa kemajuan ekonomi adalah paling baik digerakkan menerusi kerjasama dan bukannya konfrontasi, serta libat urus dan bukannya peminggiran - PM Anwar | 

RCEP, ACFTA Elemen Penting Manfaatkan Potensi Perdagangan ASEAN-China - Setiausaha Agung ASEAN

 

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

HUANGSHAN, 5 Jun (Bernama) -- Pelaksanaan pada peringkat akar umbi yang lebih kukuh, proses yang dipermudahkan untuk perniagaan dan kerjasama awam-swasta yang lebih erat menjadi elemen penting untuk memanfaatkan potensi perjanjian perdagangan serantau sepenuhnya, kata Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

Ad Banner
Ad Banner

Kao merujuk kepada Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA).

Beliau berkata rangka kerja kedua-dua perjanjian ini saling melengkapi dan penting dalam memperluas akses pasaran, mengukuhkan rantaian bekalan yang berdaya tahan dan meningkatkan daya saing serantau.

“Kerjasama awam-swasta yang kukuh penting bukan sahaja untuk membantu perniagaan menyepadukan dalam rantaian nilai serantau, malah untuk menyokong mereka dalam meningkatkan operasi dan menyumbang kepada penggubalan dasar yang lebih responsif,” katanya pada Forum Kerjasama Kerajaan Tempatan dan Bandar Persahabatan (Huangshan) RCEP 2025 yang diadakan di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Katanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang menjadi teras kepada ekonomi ASEAN, sering berdepan halangan dalam mengakses pembiayaan dan melalui peraturan yang rumit.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pihak berkuasa tempatan menyokong PMKS melalui capaian bersasar, khidmat nasihat dan proses pentadbiran yang dipermudahkan.

Beliau memuji usaha proaktif bandar dan kerajaan tempatan dalam memudah cara perdagangan melalui dialog dasar, pembinaan kapasiti dan skim insentif yang penting untuk membantu perniagaan melalui peraturan perdagangan yang teknikal dan merealisasikan manfaat daripada RCEP dan ACFTA.

RCEP meliputi 15 negara, termasuk kesemua 10 negara anggota ASEAN dan lima rakan kongsi utamanya, iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand. 

Kao berkata ekonomi RCEP menyumbang US$29.4 trilion atau hampir 28 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global pada 2023 manakala perdagangan gabungan mereka bernilai US$13.5 trilion pada 2024, menyumbang lebih 28 peratus daripada perdagangan global. 

Blok itu juga mewakili asas pengguna sebanyak 2.3 bilion orang atau hampir satu pertiga daripada populasi global.

Di China sahaja, penggunaan RCEP melonjak 38 peratus pada tahun lepas, dengan kebanyakan syarikat memanfaatkan RCEP untuk meningkatkan eksport dan mempelbagaikan rangkaian pembekal.

Jumlah perdagangan ASEAN dengan rakan RCEP sebanyak US$1.3 trilion pada 2024, menyumbang 34.5 peratus daripada keseluruhan perdagangan ASEAN. 

Kao turut menekankan kepentingan ACFTA yang semakin meningkat, diwujudkan pada 2003, telah memansuhkan lebih 90 peratus daripada tarif antara ASEAN dan China.

“ACFTA 3.0 akan memodenkan perjanjian dan membuka pintu baharu dalam ekonomi digital, ekonomi hijau dan jaringan rantaian bekalan. 

“Ia akan mentakrifkan semula hubungan ekonomi ASEAN-China melalui inovasi dan daya saing,” katanya.

Pada 25 Mei, Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN telah memuktamadkan rundingan ACFTA 3.0 dan selesainya menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA).

Kedua-dua perjanjian itu dijadualkan ditandatangani di luar Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober ini.

Kao berkata ACFTA dan RCEP membentuk rangka kerja yang saling memperkukuh membolehkan perniagaan di ASEAN dan China memperluas operasi rantaian bekalan global mereka, dengan kedua-dua perjanjian itu menyumbang kepada daya tahan dan integrasi ekonomi jangka panjang.

“Dengan terus memanfaatkan RCEP, ASEAN dan China akan membina ekonomi yang berdaya tahan dan saling berkaitan yang mampu berdepan situasi tidak menentu dan cabaran selain memanfaatkan peluang baharu,” katanya.

-- BERNAMA