BERITA TERKINI   Remaja lelaki bebas tuduhan bunuh pelajar perempuan di PJ, Mahkamah Tinggi Shah Alam perintahkan ditempatkan di Hospital Bahagia | Pengarah Pengurusan PDRM Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid dilantik Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa 9 Sept - Saifuddin | Kertas siasatan dakwaan MB Negeri Sembilan dipaksa tandatangan Surat Cara Proklamasi telah dibuka dan masih dalam proses siasatan -- Saifuddin Nasution | KDN nilai tawaran kapal ronda luar pesisir kedua daripada Ex-United States Coast Guard (USCG) berdasarkan kelayakan belayar, kos baik pulih - Saifuddin | Kadar elaun anggota RELA RM8 sejam akan disemak kepada kadar lebih munasabah -- Saifuddin Nasution | 

UMW Toyota Motor Catat Jualan 62,246 Unit Kenderaan Setakat Ogos 2025

SHAH ALAM, 8 Sept (Bernama) -- UMW Toyota Motor (UMWT) mencatat jualan kukuh pada Ogos 2025 menerusi penghantaran sebanyak 9,083 unit kenderaan dan menjadikan 62,246 unit telah dijual setakat tahun ini.

Dalam kenyataannya, UMWT menyifatkan prestasi itu sebagai membuktikan permintaan kukuh dan konsisten terhadap jenama Toyota di Malaysia, didorong oleh pendekatan pelbagai hala yang menawarkan penyelesaian elektrifikasi dan pada masa sama mengekalkan barisan model yang diyakini serta menepati gaya hidup harian.

Toyota telah mencatatkan penjualan sebanyak 859,865 kenderaan di Malaysia selama lebih sedekad lepas iaitu 2015 hingga Ogos 2025.

Ad Banner

Angka itu juga, kata UMWT, memaparkan populariti berterusan jenama berkenaan serta bukti keyakinan pemandu tempatan terhadap Toyota.

Presidennya, Datuk Ravindran K berkata fokus syarikat tidak hanya merangkumi kualiti kenderaan tetapi turut memastikan aspek mobiliti yang kekal bermakna serta akses untuk semua, merentasi setiap peringkat kehidupan daripada perjalanan seharian sehingga pencapaian keluarga.

“Sejak berdekad-dekad lamanya, rakyat Malaysia meletakkan kepercayaan terhadap Toyota dan inilah yang terus menjadi inspirasi kami. Hubungan berpanjangan ini memaparkan komitmen kami terhadap mobiliti untuk semua dan bagaimana untuk terus menggerakkan dunia anda.

Ad Banner
Ad Banner

“Inilah semangat sama untuk perpaduan dan kemajuan yang diraikan bersama dengan negara ini bersempena Merdeka kali ini,” katanya.

Seiring sambutan kemerdekaan itu, UMWT menawarkan promosi eksklusif sepanjang September 2025, termasuk penjimatan sehingga RM5,000 bagi model terpilih selain tawaran menarik di pusat pameran Toyota di serata negara ini.

Menurut kenyataan itu, pemilik kenderaan Toyota juga berpeluang menikmati penjimatan jangka pajang menerusi ‘Toyota Service Savers’ -- program penyelenggaraan prabayar bermula serendah RM31 sebulan.

Ini termasuk tawaran penjimatan sehingga 10 peratus ke atas komponen dan kos upah tenaga kerja serta perlindungan terhadap sebarang kenaikan harga di masa depan.

-- BERNAMA