BERITA TERKINI   Kanak-kanak lelaki 11 tahun maut akibat kecederaan di kepala dipercayai berpunca senjata api buatan sendiri ‘Ginsok’ di Sook Sabtu lepas - Ketua Polis Daerah Keningau | Polis rampas 42 laras senapang angin, 456 kotak kecil peluru serta tahan lelaki 50 tahun dalam operasi di Sook semalam - Ketua Polis Daerah Keningau | Jerebu: Johor laksana solat hajat di semua masjid dan surau bermula hari ini sehingga keadaan kembali pulih - Exco Mohd Fared | 

Sistem Digunakan Dalam BUDI95 Selamat Daripada Ancaman Siber - Gobind

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Kerajaan memberi jaminan bahawa sistem yang digunakan dalam pelaksanaan subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif Budi MADANI RON95 (BUDI95) selamat daripada sebarang ancaman siber, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo. 

Beliau berkata aspek keselamatan siber dalam sistem yang terlibat dengan pelaksanaan BUDI95 merupakan perkara yang telah dikaji secara mendalam untuk menentukan keberkesanannya dengan mengambil kira pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku.

“Apa yang kita telah laksanakan ialah sistem yang mengambil kira kemungkinan tertentu. Ia selamat untuk diteruskan buat masa ini dan ini adalah aspek yang telah dilihat secara teliti.

Ad Banner

“Fokus dan keutamaan yang diberikan oleh Perdana Menteri dalam semua aspek pendigitalan adalah keselamatan. Oleh itu, sama juga dengan BUDI95, aspek keselamatan telah diberikan perhatian secara khusus dan sistem sedia ada bersedia untuk semua kemungkinan,” katanya kepada pemberita hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembukaan Cyber Digital Services, Defence and Security Asia Exhibition and Conference (CyberDSA 2025) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.  

Dalam pada itu, Gobind berkata Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data 2026–2030 yang dirangka dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia dan Jabatan Digital Negara akan dilancarkan pada akhir tahun ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata strategi ini akan menggariskan aspek pengukuhan keselamatan siber dan membina keyakinan pengguna siber bagi tempoh 2026-2030. 

“Saya harap kita dapat melancarkan dokumen tersebut sebelum akhir tahun ini supaya gerak kerja kita ke hadapan terutamanya dalam aspek membina kepercayaan digital dapat dilihat, difahami dan dilaksanakan,” katanya. 

-- BERNAMA