BERITA TERKINI   DUN Melaka dibubar berkuat kuasa esok bagi memberi laluan kepada PRN Melaka ke-16 - Ab Rauf | Malaysia perlu bangunkan perusahaan teknologi tempatan, bukan sekadar bekalkan bakat - TPM Ahmad Zahid | TPM Ahmad Zahid seru sinergi lebih kukuh antara kerajaan, institusi pengajian tinggi dan pelabur swasta untuk mengkomersialkan penyelidikan tempatan | Malaysia perlu bergerak melangkaui sebagai hab pembuatan untuk menerajui, mencipta serta memiliki teknologi dan harta intelek global menjelang 2030 - TPM Ahmad Zahid | 

Ringgit Ditutup Kukuh Berbanding Dolar AS

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Ringgit meneruskan momentum pengukuhannya untuk ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, selepas berlegar menghampiri paras 4.09 minggu lepas, dalam persekitaran sentimen pelabur yang kekal optimis namun berhati-hati menjelang pengumuman data ekonomi utama AS.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.0930/0980 berbanding dolar AS daripada paras 4.0945/1005 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Ad Banner

Antara petunjuk ekonomi AS yang akan diumumkan termasuk laporan Gaji Bukan Ladang (Nonfarm Payrolls), Indeks Harga Pengguna (CPI), Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) serta Indeks Sentimen Pengguna Universiti Michigan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kepada Bernama bahawa ringgit terus mengukuh berikutan Indeks Dolar AS susut 0.05 peratus kepada 98.352 mata.

“Para pelabur kekal positif terhadap ringgit, namun tetap mengambil pendekatan berhati-hati menjelang pengeluaran data minggu ini serta kenyataan daripada pegawai Rizab Persekutuan AS,” katanya.

Ad Banner

AmBank (M) Bhd pula dalam nota penyelidikannya hari ini berkata risiko pembetulan kekal tinggi apabila pasaran menyusun semula kedudukan masing-masing menjelang risiko berkaitan data ekonomi AS.

Untuk ringgit terus diniagakan di bawah paras 4.10, pasaran memerlukan petunjuk kukuh bahawa inflasi dan pasaran buruh AS sedang menunjukkan trend penurunan menjelang hujung minggu ini, katanya.

Pada Jumaat lepas, ringgit berlegar menghampiri paras 4.09, iaitu paras tertinggi dalam tempoh empat tahun tujuh bulan, disokong oleh data ekonomi domestik yang positif.

Bagaimanapun, pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit susut berbanding pound British kepada 5.4793/4860 daripada 5.4789/4869 ketika ditutup pada Jumaat lepas, menyusut berbanding yen Jepun kepada 2.6410/6444 daripada 2.6264/6304 dan merosot berbanding euro kepada 4.8064/8123 daripada 4.8037/8107.

Mata wang tempatan itu diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.1746/1787 daripada 3.1701/1750, menyusut berbanding baht Thailand kepada 13.0201/0422 daripada 12.9589/9845, meningkat sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 245.5/245.9 daripada 245.9/246.4 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.93/6.94.

-- BERNAMA