Eco Business Park 7 Jual Tanah Industri Di Negeri Sembilan Bernilai RM1.0 Bilion
KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Eco Business Park 7 Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli bersyarat untuk menjual dua bidang tanah perindustrian berkeluasan 89.70 hektar di Port Dickson, Negeri Sembilan kepada Tera Data Centers (Malaysia) Sdn Bhd (TERA) bernilai kira-kira RM1.01 bilion.
Tanah itu terletak di Eco Business Park 7 (EBP 7), yang dibangunkan menerusi kerjasama awam-swasta antara Eco World Development Group Bhd (EcoWorld), SD Guthrie Bhd dan NS Corporation.
Dalam kenyataan bersama hari ini, EcoWorld memaklumkan pelaburan besar oleh TERA itu mengukuhkan lagi visi EBP 7 untuk mewujudkan ekosistem perindustrian bernilai tinggi dan bersedia menghadapi keperluan untuk masa depan.
Menurutnya langkah itu sekali gus menjadikannnya berada pada kedudukan yang kukuh untuk menarik bukan sahaja pelaburan dalam negara malah pelaburan langsung asing (FDI) yang berkualiti dalam jumlah yang besar.
“Sebagai peneraju terkemuka dalam ekonomi digital, komitmen TERA mencerminkan keyakinan yang kukuh terhadap daya saing Negeri Sembilan sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan berteknologi tinggi dan bernilai tinggi.
“Pencapaian ini menekankan daya tarikan negeri itu yang semakin meningkat sebagai hab pelaburan dan menyokong aspirasi pelan induk Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) untuk memacu pertumbuhan serantau berimpak tinggi, mampan dan inklusif dalam jangka panjang,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pembangunan EBP 7 Datuk Ho Kwee Hong berkata EBP 7 adalah pembangunan perindustrian pertama yang dilancarkan dalam Parcel C MVV 2.0 untuk menjadi pemangkin kepada pelaburan baharu dan kemajuan teknologi selain menggalakkan kerjasama antara industri, pelabur dan masyarakat setempat.
“Sejak projek ini dilancarkan pada November 2025, kami telah menjual lot perindustrian dan kilang siap bina bernilai lebih RM800 juta dalam fasa pertama.
“Ini termasuk ‘SME Core,’ iaitu ciri utama bagi menggalakkan dan menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan serta pengusaha industri Malaysia yang lebih besar, sekali gus menyumbang kepada pewujudan peluang pekerjaan berkemahiran yang bermakna untuk negeri ini,” katanya.
-- BERNAMA