BERITA TERKINI   Wong Chen umum letak jawatan Ahli Parlimen Subang berkuat kuasa hari ini | PM Anwar kini jalani rawatan fisioterapi, pastikan proses pemulihan berjalan baik - Ketua Pasukan Perubatan PM | PM Anwar selamat jalani pembedahan laparoskopi secara elektif, rawat hernia perut - Ketua Pasukan Perubatan PM | Pelan Strategik Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli 2026-2035 komitmen kerajaan tingkat status kesihatan, kesejahteraan komuniti Orang Asli - Dzulkefly Ahmad | TPM Ahmad Zahid harap pindaan Akta Orang Asli 1954 dapat dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang | 

Ringgit Lepasi Paras 4.04 Berbanding Dolar AS Selepas OPR Kekal Pada 2.75 Peratus

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, disokong oleh sentimen pasaran yang bertambah baik susulan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR).

Terdahulu hari ini, bank pusat Malaysia dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bagi 2026 memutuskan untuk mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus.

Ad Banner

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0370/0415 berbanding dolar AS daripada 4.0445/0495 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata penilaian positif oleh BNM mengenai keadaan ekonomi selepas mengumumkan keputusan untuk mengekalkan OPR pada 2.75 peratus turut menyumbang secara positif kepada kekukuhan ringgit.

“Nampaknya ringgit berpotensi melepasi paras 4.00 (berbanding dolar AS) pada suatu ketika dalam masa terdekat sekiranya sentimen positif berterusan,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Mata wang tempatan juga ditutup kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5440/5469 daripada 2.5598/5631 pada Rabu, mengukuh berbanding euro kepada 4.7205/7257 daripada 4.7337/7395, tetapi sedikit menurun berbanding pound Britain kepada 5.4273/4334 daripada 5.4237/4304 semalam.

Ringgit diniagakan secara bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1441/1478 daripada 3.1502/1543 pada Rabu dan menokok berbanding baht Thailand kepada 12.8587/8792 daripada 13.0086/0301.

Mata wang tempatan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.82/6.83, tetapi sedikit menyusut berbanding rupiah Indonesia kepada 238.9/239.3 daripada 238.7/239.3.

-- BERNAMA