Empat Tahun Pentadbiran: Kerajaan MADANI Perkukuh Asas Ekonomi Negara – PM Anwar
KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan keyakinan yang tinggi bahawa Kerajaan MADANI berjaya membina asas yang lebih kukuh untuk Malaysia meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi dan kedudukan kewangan negara yang terbatas.
Genap empat tahun mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan memikul amanah dalam mengemudi Malaysia, Anwar berkata kedudukan kewangan negara terus diperkemas, tatakelola diperbaiki, reformasi institusi digerakkan dan kebajikan rakyat terus diperkukuh.
“Empat tahun bukanlah suatu tempoh yang singkat, namun saya masih ingat betapa beratnya amanah ini tatkala negara sedang berdepan dengan pelbagai cabaran.
“Ekonomi tertekan, kedudukan kewangan negara terbatas, sementara rakyat pula bergelut dengan peningkatan kos sara hidup,” kata beliau menerusi satu hantaran di media sosialnya.
Selain itu, beliau berkata kelemahan tatakelola dan amalan rasuah yang sekian lama berakar umbi turut menuntut keberanian untuk melakukan perubahan.
Sejak hari pertama melangkah masuk ke Perdana Putra, beliau bertekad untuk memulihkan negara dan mengangkat lantai kehidupan rakyat.
“Bukan suatu perjalanan yang mudah, tetapi amanah ini mesti terus digalas dengan penuh kesungguhan. Alhamdulillah sepanjang empat tahun ini, kita telah bersama-sama membina asas yang lebih kukuh untuk Malaysia," jelas beliau.
Beliau menegaskan perjalanan itu masih jauh dan banyak lagi yang sedang diusahakan memandangkan ukuran sebenar kemajuan negara adalah apabila kehidupan setiap keluarga menjadi lebih baik, rezeki lebih terjamin dan masa depan anak-anak lebih terbela.
“Itulah yang sedang kita perjuangkan. Dengan asas yang telah kita bina, saya yakin kita mampu melangkah lebih jauh, meringankan beban rakyat dan membuka lebih banyak ruang serta peluang yang adil untuk semua,” katanya.
Anwar sehubungan itu merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas kesabaran, teguran, doa dan kepercayaan sepanjang beliau mengemudi Kerajaan MADANI.
“Selagi diberi amanah ini, akan saya curahkan segala daya dan upaya demi rakyat dan negara yang saya cintai.
“Perdana Menteri boleh datang dan pergi, tetapi nasib rakyat mesti terus dibela dan martabat negara mesti terus diangkat,” tambah beliau.
-- BERNAMA