BERITA TERKINI   Keputusan BN dan PH untuk bertanding di 56 kerusi DUN di PRN Johor tidak akan jejaskan kerjasama Kerajaan Perpaduan - Fahmi | Jabatan Wilayah Persekutuan salur bantuan kewangan sehingga RM3,000 kepada keluarga terjejas akibat ribut di Kampung Tanjung Aru, Labuan | PH Johor akan tanding semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang - Aminolhuda Hasan | 
Ad Banner
Ad Banner

1,325 Peniaga Tidak Berdaftar SST Sepanjang 2024 Hingga Januari 2026 - MOF

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Seramai 1,325 peniaga yang tidak berdaftar di bawah Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) dikenal pasti bagi tempoh 2024 hingga Januari 2026, kata Kementerian Kewangan (MOF).

Kementerian itu berkata peniaga terlibat didapati telah mengenakan dan memungut cukai secara tidak sah.

“Kesemua mereka telah membuat bayaran balik kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM76.7 juta.

Ad Banner
Ad Banner

“Dalam hal ini, mana-mana peniaga yang tidak berdaftar tetapi telah mengenakan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan hendaklah memulangkan semula amaun itu kepada JKDM selaras dengan peruntukan undang-undang,” kata kementerian itu melalui jawapan bertulis Dewan Negara hari ini.

MOF berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Roderick Wong Siew Lead mengenai bilangan peniaga yang tidak mendaftar SST dan telah dikenakan caj bayaran balik.

MOF berkata bagi kes yang dikenal pasti melalui aktiviti audit atau siasatan, bayaran balik cukai hendaklah dibuat berdasarkan Notis Tuntutan yang dikeluarkan selepas audit dimuktamadkan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Katanya, kemudahan bayaran ansuran juga disediakan oleh JKDM bergantung kepada penyediaan dokumen kewangan berkaitan sebelum pertimbangan boleh diberikan oleh Stesen Kastam tersebut.

-- BERNAMA