PAAB Lancar Rangka Kerja Kewangan Islam Mampan, Tampilkan Pembiayaan Biru
KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan), hari ini melancarkan Rangka Kerja Kewangan Islam Mampan, sekali gus mencatat tiga pencapaian penting di peringkat nasional.
Rangka kerja itu merupakan yang pertama di Malaysia menggabungkan pembiayaan biru (blue finance), yang pertama menerima pensijilan Rangka Kerja Bertaraf Platinum, serta rangka kerja kewangan Islam mampan pertama di negara ini.
Dibangunkan dengan Maybank Investment Bank Berhad sebagai penasihat penstrukturan kemampanan tunggal dan RAM Sustainability Sdn Bhd sebagai penyedia pendapat pihak kedua, PAAB memaklumkan rangka kerja itu mengukuhkan komitmennya terhadap kemampanan, ketelusan, tadbir urus dan kebertanggungjawaban dalam aktiviti pembiayaannya.
“Rangka Kerja Kewangan Islam Mampan ini menyediakan platform menyeluruh yang membolehkan PAAB menyelaraskan aktiviti pembiayaannya dengan prinsip kemampanan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa serta nilai kewangan Islam.
“Ia juga meletakkan asas bagi penerbitan sukuk mampan dan sukuk biru pada masa hadapan untuk menyokong pelaburan dalam infrastruktur aset berkaitan air serta projek yang mampan dari segi alam sekitar,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Pengerusi PAAB Jaseni Maidinsa, berkata setakat 31 Dis, 2026, jumlah keseluruhan pelaburan yang telah dipindahkan dan pelaburan yang diluluskan oleh kumpulan itu dalam industri perkhidmatan air negara mencecah RM46.88 bilion.
Beliau berkata pelaburan itu telah menghasilkan impak nyata kepada negara, termasuk penyiapan 21 loji rawatan air dengan kapasiti gabungan 2.085 bilion liter sehari serta pembinaan 42 takungan air dengan jumlah kapasiti simpanan sebanyak 783 juta liter.
Selain itu, sepanjang 3,263 kilometer saluran paip telah dipasang bagi menggantikan infrastruktur lama, mengurangkan kehilangan air tidak berhasil (NRW) serta meningkatkan kebolehpercayaan bekalan.
“Pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan Persekutuan dan PAAB dalam memodenkan infrastruktur air negara serta memperkukuh keselamatan air nasional demi generasi akan datang,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran hari ini.
Sementara itu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang merasmikan majlis tersebut berkata PAAB dijangka menerbitkan sukuk biru sulungnya pada suku ketiga tahun ini.
Beliau berkata sukuk biru itu dijangka menjadi instrumen pembiayaan biru pertama di dunia yang menggunakan taksonomi yang dibangunkan bersama Maybank dan RAM Sustainability, dengan panduan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
“Jika dilihat kepada penggunaan aset yang dijadikan cagaran bagi sukuk ini, ia melibatkan aset air. Melalui rangka kerja yang memastikan pembayaran balik sukuk dilaksanakan dengan teratur, ia memperlihatkan pendekatan baharu dalam bagaimana aset boleh disekuritikan dan digunakan sebagai cagaran pembayaran, sekali gus membuka peluang untuk meningkatkan pelaburan dalam aset air negara.
“Kita sedar sekiranya pelaburan dalam aset air tidak mencukupi, ia akan menimbulkan pelbagai masalah kepada Malaysia. Oleh itu, inovasi seperti ini penting bagi membuka lebih banyak peluang pelaburan dalam sektor ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran di sini hari ini.
-- BERNAMA