MDSIDA Saran Industri Jualan Langsung Guna Pakai Teknologi Untuk Pacu Pertumbuhan
KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) – Persatuan Pembangunan Industri Jualan Langsung Malaysia (MDSIDA) menyarankan agar pemain industri untuk menerima transformasi teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi memacu pertumbuhan sambil mengekalkan piawaian etika dan pematuhan.
Presiden MDSIDA Datuk Seri Dr Barani Karunakaran berkata AI akan memainkan peranan penting dalam masa depan industri jualan langsung, menawarkan peluang selanjutnya untuk meningkatkan produktiviti dan operasi perniagaan.
"AI boleh membantu syarikat meningkatkan latihan, membolehkan pengedar berkomunikasi dengan lebih baik, memacu produktiviti, penglibatan pelanggan, penciptaan kandungan, analisis data, sistem perniagaan dan yang lebih penting, pengetahuan serta latihan.
"Jualan langsung sentiasa menjadi perniagaan orang biasa. Masa depan bukan beerti AI akan menggantikan manusia. Masa depan ialah AI akan digunakan oleh orang untuk menjadi lebih berkesan, lebih produktif dan lebih berhubung," katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran nama dan logo baharu MDSIDA di sini hari ini.
MDSIDA sebelum ini dikenali sebagai Persatuan Pengedaran Langsung Malaysia (MDDA) dan Persatuan Antarabangsa Pemasaran Bertingkat (MLMA).
Barani berkata MDSIDA juga merancang untuk mengukuhkan penglibatan antara ahlinya dan pihak berkuasa dengan menyediakan platform bagi membolehkan cabaran industri dibincangkan secara terbuka, berkongsi pengetahuan dan penyelesaian untuk dibangunkan secara kolektif.
"Kami juga mahu terus mendidik orang ramai tentang perbezaan antara jualan langsung yang sah dan skim tidak beretika yang merosakkan reputasi industri kami.
"Melangkah ke hadapan, MDSIDA akan terus menjadi jambatan antara industri dan kerajaan, platform untuk ahli kami serta suara yang bertanggungjawab untuk industri jualan langsung Malaysia," tambahnya.
Pada 2024, industri jualan langsung Malaysia menokok 7.4 peratus kepada RM34.4 bilion berbanding RM32.04 bilion yang disaksikan pada 2023.
-- BERNAMA