Niaga Hadapan MSM Ditutup Bercampur-campur
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup bercampur-campur hari ini berikutan kebimbangan terhadap kenaikan dalam inventori dan permintaan yang agak perlahan tetapi sebahagiannya diimbangi oleh sokongan daripada harga minyak sayuran saingan dan minyak mentah.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata kontrak bulan semerta Oktober 2026 turun RM9 setan metrik, mencerminkan sikap hati-hati peniaga yang berterusan.
“Prospek peningkatan dalam pengeluaran telah menimbulkan kebimbangan mengenai potensi lambakan inventori, menambah tekanan kepada pasaran yang sedang berhati-hati.
"Sementara itu, permintaan daripada negara pengimport utama kekal lemah, memberikan sokongan terhad kepada harga. Peniaga juga sedang memantau dengan teliti prestasi eksport untuk petunjuk minat belian yang lebih mantap terutamanya daripada pengguna utama seperti India dan China," katanya kepada Bernama.
Namun begitu, Ng berkata faktor luaran boleh mengurangkan risiko penurunan termasuk pergerakan harga minyak sayuran saingan dan minyak mentah, yang boleh mempengaruhi daya saing minyak sawit dalam pasaran minyak makan serta biodiesel global.
“Kami melihat harga disokong melebihi RM4,550 satu tan, manakala rintangan ditambat pada RM4,700 satu tan,” katanya.
Pada penutupan, kontrak Oktober 2026 susut RM9 kepada RM4,466 satu tan, manakala November 2026 merosot RM22 kepada RM4,556 satu tan. Disember 2026 jatuh RM8 kepada RM4,664 satu tan.
Kontrak Januari 2027 naik RM6 kepada RM4,774 satu tan, Februari 2027 menokok RM15 kepada RM4,876 satu tan, manakala Mac 2027 meningkat RM27 kepada RM4,968 satu tan.
Jumlah dagangan melembap kepada 92,860 lot berbanding 146,998 lot yang dicatatkan pada Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka susut kepada 338,007 kontrak daripada 342,948 sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan berkurangan sebanyak RM30 kepada RM4,500 satu tan.
-- BERNAMA