Maybank Selesaikan Terbitan Sukuk Mudharabah AT1 RM2.5 Bilion
KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Malayan Banking Bhd (Maybank) menyelesaikan terbitan sukuk mudharabah tambahan peringkat 1 (AT1) bernilai RM2.5 bilion di bawah program sukuknya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan perbankan itu menyatakan sukuk kekal berkenaan terdiri daripada tiga siri dengan nilai nominal masing-masing RM750 juta, RM1.10 bilion dan RM650 juta.
Bahagian bernilai RM750 juta itu menawarkan kadar agihan tetap sebanyak 4.85 peratus setahun sehingga tarikh penebusan pertama pada 29 Sept, 2031 manakala bahagian bernilai RM1.10 bilion menawarkan kadar 5.11 peratus sehingga tarikh penebusan pertama pada 28 Sept, 2033.
Sementara itu, bahagian RM650 juta menawarkan kadar agihan tetap sebanyak 5.15 peratus setahun sehingga tarikh penebusan pertama pada 26 Sept, 2036.
“Kadar agihan yang disemak semula bagi ketiga-tiga bahagian berkenaan masing-masing adalah berdasarkan kadar MGS tempoh lima tahun, tujuh tahun dan 10 tahun semasa, ditambah dengan perbezaan kadar (spread) awal bagi kadar tetap masing-masing sebanyak 0.98 peratus, 0.97 peratus dan 0.98 peratus setahun,” jelas Maybank.
Hasil daripada terbitan itu akan digunakan untuk tujuan patuh syariah termasuk pelaburan dalam instrumen kewangan Islam dalam denominasi ringgit dan mata wang asing yang diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia atau Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Maybank menegaskan hasil tersebut juga akan digunakan untuk membiayai aktiviti perniagaan Islam oleh anak-anak syarikat dan cawangan luar negara Maybank serta aktiviti perniagaan lain yang patuh syariah.
Pulangan daripada pelaburan berkenaan akan digunakan untuk pembayaran agihan berkala bagi sukuk mudharabah AT1 yang perlu dibayar setiap setengah tahun.
Sukuk tersebut diberi penarafan AA3 oleh RAM Rating Services Bhd.
-- BERNAMA