BERITA TERKINI   Jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah selamat dikebumikan di Pusara Negara Presint 20 pada 6.36 petang | LTdL 2026: Pelumba Tudor Pro Cycling Team Lennart Jasch menang peringkat kedua dari Taiping ke Gunung Jerai | 

Belanjawan 2027: Perak Mohon Peruntukan Khusus Projek Pemindahan Air Ke Tasik Bukit Merah

IPOH, 28 Sept (Bernama) -- Kerajaan negeri berharap menerusi Belanjawan 2027, peruntukan bagi projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah diluluskan dan dapat dilaksanakan tahun depan.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sebelum ini sudah menyerahkan senarai permohonan negeri kepada pihak berkaitan.

Beliau berkata fasa utama projek pemindahan air ke Tasik Bukit Merah itu bertujuan memenuhi keperluan bekalan air di Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) serta pembangunan di kawasan utara Perak selain menyelesaikan masalah dialami petani setiap kali musim kemarau.

Ad Banner

"Kita dalam fasa hendak merealisasikan projek ini dan kemudiannya jika ada lebihan air itu, baru kita akan fikir untuk menjual air terawat ke Pulau Pinang. 

“Projek ini dijangka memenuhi keperluan bekalan air di KIGIP dan menyokong pembangunan di kawasan utara Perak selain menyelesaikan masalah yang sering dihadapi para petani setiap kali berlakunya musim kemarau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Loji Tenaga Boleh Baharu Biogas 2 Megawatt (MW) di Tapak Pelupusan Sanitari Sisa Pepejal Papan Ulu Johan di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan pada 9 Oktober depan dan akan menjadi Belanjawan MADANI kelima serta belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Sementara itu, Saarani berkata kerja-kerja penyediaan infrastruktur projek berkenaan dianggarkan menelan kos antara RM1.4 bilion hingga RM2 bilion selain dibiayai oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Katanya, jika pelaksanaan projek itu mendapat kelulusan dan mengikut jadual yang ditetapkan, ia dijangkakan mula beroperasi sepenuhnya pada 2030.

“Projek berkenaan terbahagi kepada dua fasa utama; fasa pertama menuntut Kerajaan Persekutuan melunaskan pembinaan prasarana asas seperti jajaran terowong dan sistem pam air menerusi peruntukan PETRA.

"Manakala fasa berikutnya yang diterajui konsortium Khazanah Air Perak menerusi usaha sama Gamuda Bhd dan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) akan memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembinaan loji rawatan air melalui instrumen pembiayaan swasta, pinjaman strategik mahupun terbitan sukuk,” katanya.

Mengulas mengenai permohonan melalui sektor pendidikan, beliau berkata kerajaan negeri turut mengemukakan tiga keperluan mendesak melibatkan pembinaan baharu dan naik taraf sekolah di Perak bagi membolehkan pengoperasian persekolahan satu sesi dijalankan dalam keadaan selesa.

Katanya langkah itu termasuk pembinaan bangunan tambahan bagi menampung kemasukan serentak murid berusia enam dan tujuh tahun ke darjah satu, penggantian infrastruktur sekolah yang uzur serta pembinaan sekolah baharu di kawasan pertumbuhan pesat seperti di Proton City (Tanjong Malim) dan KIGIP.

-- BERNAMA