BERITA TERKINI   Jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah selamat dikebumikan di Pusara Negara Presint 20 pada 6.36 petang | LTdL 2026: Pelumba Tudor Pro Cycling Team Lennart Jasch menang peringkat kedua dari Taiping ke Gunung Jerai | 

Malaysia Sedang Memasuki Kitaran Pelaburan Air Yang Lebih Menyokong -- CIMB Securities

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Malaysia sedang memasuki kitaran pelaburan air yang lebih menyokong memandangkan infrastrukturnya yang sudah lama, kehilangan air yang tinggi, lonjakan dalam permintaan industri dan pusat data termasuk kebolehubahan iklim yang lebih besar telah meningkatkan keperluan untuk memacu kecekapan, kebolehpercayaan serta daya tahan air.

CIMB Securities melalui satu nota hari ini memberitahu kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) untuk menggantikan kira-kira 1,800 kilometer paip air yang amat kritikal dari 2026 hingga 2030, disamping Program Air Tidak Terhasil Kebangsaan (NRW).

Projek-projek besar seperti Langat 2 Fasa 2, Rasau Fasa 2 dan Skim Bekalan Air Perak Utara harus terus mengukuhkan keselamatan air selain menyediakan saluran paip yang boleh dilihat untuk kontraktor, pengilang paip dan penyedia penyelesaian.

Ad Banner

CIMB Securities berkata kadar NRW Malaysia berada pada 37.1 peratus setakat 2024.

“NRW yang tinggi secara berterusan, rangkaian pengedaran yang semakin tua dan kebolehubahan iklim yang semakin meningkat mengakibatkan pengekstrakan air mentah yang tidak perlu, keperluan rawatan serta pengepaman yang lebih tinggi, ekonomi utiliti yang lebih lemah dan risiko gangguan bekalan.

“Pada masa yang sama, pertumbuhan penduduk, perindustrian dan pembangunan pusat data yang pesat memacu permintaan air berstruktur, terutamanya merentasi koridor ekonomi di Selangor, Johor dan Pulau Pinang,” tambahnya.

Ad Banner
Ad Banner

Syarikat broker saham itu berkata peralihan air Malaysia dilihat semakin meluas daripada sekadar membina infrastruktur baharu, sekarang, ke arah menggunakan sumber air serta aset sedia ada dengan lebih cekap.

Pengurangan NRW yang mampan memerlukan pemulihan fizikal di samping pemeteran pintar, pengesanan kebocoran, pengurusan tekanan, telemetri, analitik dan sistem pengurusan aset pintar.

“Teknologi ini boleh menjadikan rangkaian air lebih kelihatan, boleh diukur dan terurus, meningkatkan keberkesanan ke atas setiap ringgit yang dibelanjakan untuk infrastruktur air.

“Ini sejajar dengan Transformasi Sektor Air 2040 (WST2040), yang menggalakkan pendigitalan, daya tahan iklim, pengurusan sumber air bersepadu dan tadbir urus sektor yang lebih baik ,” katanya.

Dari perspektif pelaburan, CIMB Securities berkata ia memihak kepada syarikat yang berada pada kedudukan sama ada pada lapisan kecekapan atau pemboleh infrastruktur bagi peralihan air Malaysia.

“Insight Analytics Bhd adalah antara proksi tersenarai paling langsung kepada pendigitalan air dan pengurusan NRW, manakala Gamuda Bhd menawarkan pendedahan kepada projek rawatan, penghantaran serta keselamatan air berskala besar.

"Risiko jangka terdekat utama kekal pada kadar di mana komitmen pembiayaan dan dasar diterjemahkan kepada tender, anugerah projek serta akhirnya, pendapatan," katanya.

-- BERNAMA