BERITA TERKINI   Jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah selamat dikebumikan di Pusara Negara Presint 20 pada 6.36 petang | LTdL 2026: Pelumba Tudor Pro Cycling Team Lennart Jasch menang peringkat kedua dari Taiping ke Gunung Jerai | Jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah akan dikebumikan di sebelah pusara Datin Seri Endon Mahmood di Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya - Fahmi | 

Pelabur Automatif Baharu Minat Ganti BYD Di Tanjong Malim -- MB Perak

IPOH, 28 Sept(Bernama) -- Kerajaan negeri Perak mengesahkan beberapa syarikat automotif berminat untuk melabur di KLK TechPark, Tanjong Malim yang berpotensi menggantikan syarikat pengeluar kenderaan elektrik (EV) China, BYD Company Limited (BYD) yang menarik diri sebelum ini.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata beberapa rundingan sedang dilaksanakan oleh KLK TechPark bersama syarikat terbabit yang bertujuan mengoptimumkan hab perindustrian itu.

"Pihak KLK TechPark selaku pihak yang berkepentingan sedang melakukan rundingan dengan beberapa pihak untuk membolehkannya menjana pendapatan yang hilang.

Ad Banner

“Beberapa pelabur daripada sektor berbeza kini sedang dipertimbangkan untuk memasuki KLK TechPark, sekali gus mengisi peluang pelaburan yang sebelum ini dirancang bersama BYD,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Loji Tenaga Boleh Diperbaharui Biogas 2 Megawatt (MW) di Tapak Pelupusan Sanitari Sisa Pepejal Papan Ulu Johan, di sini, hari ini.

Pada 10 September lepas, BYD Malaysia mengesahkan tidak akan meneruskan projek kilang pemasangan kenderaan secara tempatan (CKD) di Tanjong Malim, namun mengesahkan untuk meneruskan operasi pemasangan tempatan di Malaysia.

Sementara itu, projek loji berkapasiti 2 MW yang dibangunkan dan mula beroperasi pada 19 Mei 2025, merupakan hasil kerjasama antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Teraju Sepadu Sdn Bhd.

Ad Banner
Ad Banner

Saarani berkata jalinan kerjasama kedua-dua pihak itu turut diperkukuh menerusi Perjanjian Kerjasama Program Kelestarian Alam Sekitar dan Sumbangan Komuniti bagi merangka pelbagai program kesedaran, pengurusan sisa serta aktiviti kemasyarakatan setempat.

“Kemudahan itu memanfaatkan gas metana daripada pereputan sisa pepejal untuk dijana menjadi tenaga elektrik.

“Pendekatan berkenaan bukan sahaja membolehkan sumber sisa dimanfaatkan secara produktif, malah berupaya mengurangkan pelepasan gas rumah hijau ke atmosfera selaras dengan prinsip ekonomi kitaran,” katanya.

-- BERNAMA