Willowglen MSC Peroleh Kontrak Bernilai RM108 Juta
KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Willowglen MSC Bhd, iaitu Willowglen Services Pte Ltd (WSPL) menerima kontrak berjumlah kira-kira RM108 juta bagi kerja-kerja pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem elektrikal, keselamatan dan pemantauan.
Menurut penyedia dan pembangun sistem kawalan berasaskan komputer itu, identiti pelanggan tidak didedahkan kerana WSPL tertakluk kepada tanggungjawab kerahsiaan di bawah perjanjian yang dimeterai dengan pelanggan tersebut.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu menjelaskan bahawa kontrak itu melibatkan tempoh selama lapan tahun dan 11 bulan, serta bermula pada 19 Ogos 2026.
Tambah Willowglen, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 hingga 2035.
“Kontrak tidak boleh diperbaharui dan risiko berkaitan kontrak adalah risiko perniagaan biasa,” katanya.
-- BERNAMA