Unit Sunsuria Jual Tanah Di Dengkil Pada Harga RM316.84 Juta
KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Anak syarikat milik 99.99 peratus Sunsuria Bhd, Sunsuria City Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli dengan Amazon Data Services Malaysia Sdn Bhd untuk menjual sebidang tanah di Dengkil, Selangor pada harga tunai kira-kira RM316.84 juta.
Pemaju hartanah itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini memaklumkan tanah pegangan bebas itu berkeluasan kira-kira 18.39 hektar.
“Pemilik berdaftar tanah itu ialah Sunsuria City, dan tanah berkenaan bebas daripada sebarang bebanan serta masih kosong pada masa ini.
“Cadangan penggunaan hartanah itu adalah bagi menyediakan perkhidmatan pemprosesan data dan infrastruktur,” menurutnya.
Menurut Sunsuria cadangan penjualan itu memberi peluang kepada kumpulan berkenaan untuk merealisasikan nilai pelaburannya dalam hartanah itu.
“Kumpulan itu dijangka mencatat keuntungan pro forma sekali sahaja daripada penjualan berkenaan berjumlah kira-kira RM50.34 juta,” menurutnya.
Menurut syarikat, cadangan penjualan itu antaranya tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Sunsuria pada mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan.
"Sekiranya tiada keadaan luar jangka dan tertakluk kepada semua kelulusan serta persetujuan diperoleh, cadangan penjualan itu dijangka selesai pada suku kedua 2027,” menurutnya.
Hong Leong Investment Bank Bhd dilantik sebagai penasihat utama bagi cadangan penjualan itu.
-- BERNAMA