Ayer Holdings Cadang Peroleh Dua Lot Tanah Di Kuchai Lama Bernilai RM138 Juta
KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Ayer Holdings Bhd, Kuchai Urban Development Sdn Bhd, bercadang memperoleh dua lot tanah di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur daripada Bukit Cemerlang Sdn Bhd pada harga RM138 juta.
Tanah berkenaan terletak di kawasan pembangunan bandar matang yang dikenali sebagai Kuchai Lama, dengan kawasan sekitarnya kebanyakannya terdiri daripada rumah kedai/pejabat kedai dua hingga tiga tingkat, rumah teres setingkat, pangsapuri, kondominium serta pangsapuri servis.
“Cadangan pemerolehan ini dilaksanakan selaras dengan strategi perniagaan kumpulan untuk mengembangkan perniagaan hartanah dengan meningkatkan rizab tanah sedia ada dan/atau melaksanakan projek pembangunan hartanah baharu,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Ayer memaklumkan kumpulan sebelum ini memberi tumpuan kepada perniagaan pembangunan hartanah di Bandar Bukit Puchong dan, susulan kejayaan menyiapkan projek-projek berkenaan, berhasrat memperluas kehadiran geografinya ke luar Bandar Bukit Puchong bagi meningkatkan prospek pertumbuhan serta mengurangkan risiko tumpuan akibat kebergantungan kepada satu kawasan pembangunan.
“Cadangan pemerolehan tanah berkenaan di Kuchai Lama merupakan peluang untuk mengembangkan portfolio kumpulan di Lembah Klang, iaitu kawasan kejiranan yang mapan dan matang di Kuala Lumpur, dengan sokongan populasi yang pelbagai daripada golongan profesional muda hingga keluarga yang sedang berkembang, sekali gus mendorong permintaan terhadap penawaran kediaman dan gaya hidup.”
-- BERNAMA