BERITA TERKINI   Jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah selamat dikebumikan di Pusara Negara Presint 20 pada 6.36 petang | LTdL 2026: Pelumba Tudor Pro Cycling Team Lennart Jasch menang peringkat kedua dari Taiping ke Gunung Jerai | Jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah akan dikebumikan di sebelah pusara Datin Seri Endon Mahmood di Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya - Fahmi | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Susulan Hasil Sebenar AS Yang Lebih Tinggi

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Isnin, menjejaki penurunan mendadak harga emas global susulan hasil sebenar Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi menekan logam berharga itu.

Pakar Strategi Global Quintex Intel Stephen Innes berkata emas mengalami tekanan ketara apabila hasil Perbendaharaan AS meningkat susulan unjuran pasaran terhadap ekonomi AS yang lebih kukuh serta hala tuju dasar Rizab Persekutuan AS (Fed) yang lebih agresif.

Ad Banner

"Hasil Perbendaharaan AS meningkat berikutan pasaran menilai semula unjuran terhadap ekonomi AS yang lebih kukuh serta hala tuju dasar Fed yang lebih agresif manakala kadar pulang modal inflasi berubah jauh lebih kecil.

“Ini menjadikannya lebih kepada isu kadar sebenar berbanding kebimbangan inflasi dan perkembangan itu khususnya memberi kesan negatif kepada emas kerana ia meningkatkan kos lepas untuk memegang aset yang tidak memberikan hasil,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta September 2026 susut kepada US$4,145.10 setiap auns troy daripada US$4,292.40 pada Jumaat manakala Oktober 2026 turun kepada US$4,161.00 daripada US$4,308.30.

Ad Banner
Ad Banner

Kontrak November 2026 susut kepada US$4,177.80 setiap auns troy daripada US$4,325.20 pada Jumaat manakala kontrak Disember 2026, Februari 2027 dan April 2027 masing-masing berkurang kepada US$4,185.60 daripada US$4,333.00 sebelumnya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 199 lot daripada 162 lot pada Jumaat manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 262 kontrak daripada 222 kontrak sebelumnya.

Harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,261.05 setiap auns troy mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 25 Sept, 2026.

-- BERNAMA