BERITA TERKINI   Syarikat dan bakat tempatan semakin menyumbang kepada industri penerbangan global, rantaian bekalan dan sektor industri bernilai tinggi yang lain - PM Anwar | Kehadiran Boeing mencerminkan keyakinan dan kepercayaan terhadap Malaysia, dengan harapan kerjasama ini akan berterusan - PM Anwar | Malaysia mempunyai peranan yang semakin berkembang dalam aeroangkasa dan ekosistem global, disokong oleh keupayaan tenaga kerjanya dan keyakinan rakan kongsi antarabangsa - PM Anwar | JPN keluarkan sijil kematian selepas menerima pengesahan anggapan kematian daripada Kerajaan Nepal - Saifuddin Nasution | Banjir Nepal: Kerjasama waris lengkapkan dokumentasi percepat pengisytiharan anggapan kematian 54 rakyat Malaysia - Saifuddin Nasution | 

MAG Beli 10 Pesawat Boeing 787 Dreamliner, Dengan Pilihan Enam Pesawat Tambahan - Kapten Nasaruddin

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Malaysia Aviation Group (MAG) membeli 10 pesawat Boeing 787 Dreamliner secara terus daripada Boeing dengan pilihan enam buah pesawat tambahan, sebagai sebahagian daripada strategi pemodenan kumpulan pesawatnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Kapten Nasaruddin A Bakar berkata Malaysia Airlines akan menjadi syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang mengendalikan varian pesawat 787 Dreamliner itu. 

Katanya pemilihan itu melalui proses penilaian yang menyeluruh dan pesawat 787 Dreamliner merupakan pilihan yang paling sesuai untuk syarikat penerbangan nasional.

Ad Banner

“Ia menawarkan kapasiti, fleksibiliti dan kecekapan yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang kami.

“Lebih penting lagi, ia membolehkan kami untuk terus meningkatkan pengalaman yang ditawarkan kepada pelanggan selain memperkukuh daya saing kami dalam pasaran antarabangsa utama,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis pertukaran dokumen pembelian pesawat badan lebar untuk penerbangan jarak jauh Malaysia Aviation Group di sini.

Ad Banner
Ad Banner

Kapten Nasaruddin berkata pembelian pesawat itu juga akan menyokong penggantian secara berperingkat tujuh buah pesawat Airbus A350 milik MAG, yang dijangka dihentikan penggunaannya antara 2032 dan 2035, sebagai sebahagian daripada program pemodenan pesawat kumpulan itu yang lebih menyeluruh.

Dikuasakan oleh enjin GEnx daripada GE Aerospace, pesawat itu dijadualkan untuk serahan antara 2032 dan 2035.

Turut hadir menyaksikan majlis pertukaran dokumen itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

-- BERNAMA