Keuntungan Bersih Suku Pertama Axiata Melonjak Kepada RM273.80 Juta
KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih suku pertama berakhir 31 Mac 2026 Axiata Group Bhds melonjak kepada RM273.80 juta berbanding RM159.84 juta yang disaksikan pada tempoh yang sama tahun sebelum ini.
Axiata melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata lonjakan dalam keuntungan bersih pada suku yang disemak telah dipacu oleh pendapatan sebelum faedah yang lebih tinggi, keuntungan dalam cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA), keuntungan pertukaran asing (forex) serta kos kewangan yang lebih rendah.
Bagaimanapun, keuntungan tersebut telah diimbangi sebahagiannya oleh peningkatan cukai dan bahagian keuntungan yang lebih rendah daripada syarikat bersekutu, dipengaruhi oleh bahagian kerugian yang ditanggung oleh XLSMART.
Hasil pula merosot kepada RM2.80 bilion pada suku yang ditinjau iaitu daripada RM2.89 bilion sebelumnya disebabkan kesan tidak menggalakkan daripada pertukaran mata wang asing berikutan kejatuhan nilai mata wang syarikat pengendali (OpCos) berbanding ringgit.
"Pada mata wang yang tetap, hasil kumpulan menokok sebanyak 8.5 peratus, disumbangkan oleh semua OpCos kecuali Linknet. EBITDA serta pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) naik sebanyak 11.2 peratus dan 48.4 peratus masing-masing kepada RM1.36 bilion serta RM583.4 juta.
"EBITDA dan EBIT kumpulan pula, masing-masing melonjak sebanyak 25.9 peratus serta 67.9 peratus, terutamanya daripada pertumbuhan hasil," katanya.
Robi mencatatkan penurunan hasil kepada RM820.5 juta; Hasil Dialog menurun kepada RM604.8 juta; Pendapatan Smart berkurangan kepada RM441.5 juta; Hasil EDOTCO jatuh kepada RM545.6 juta; Pendapatan Linknet susut kepada RM155.4 juta; manakala pendapatan ADA dan Boost meningkat masing-masing kepada RM250.0 juta dan RM106.4 juta.
Ia menjelaskan berikutan selesainya penggabungan antara PT XL Axiata Tbk (XL) (kini dikenali sebagai PT XLSMART Telecom Sejahtera Tbk (XLSMART) dan PT Smartfren Telecom Tbk (Smartfren) pada 16 April 2025 serta pelupusan keputusan EDOTCO Investments Singapore Pte Ltd (EIS) pada 13 Jun 2025, bahagian kumpulan dalam keputusan kewangan XLSMART direkodkan di bawah operasi berterusan mulai 16 April 2025 dan seterusnya. Keputusan kewangan EIS serta XL sebelum tarikh urus niaga selesai dibentangkan sebagai operasi yang dihentikan.
Axiata ketika mengulas mengenai prospek berkata ketegangan geopolitik yang berterusan di Asia Barat telah menyumbang kepada ketidaktentuan ekonomi global dan ketidakstabilan harga tenaga, forex selain menyebabkan persekitaran kewangan global menjadi agak sempit.
“Kumpulan itu kebanyakannya terdedah kepada kesan peringkat kedua melalui pergantungannya kepada vendor global, pembiayaan antarabangsa dan keseluruhan sentimen ekonomi serantau yang mungkin menjejaskan permintaan pengguna.
“Kumpulan itu sentiasa teliti dalam memantau keadaan, dengan kecairan dan pengurusan risiko yang berhemat, serta menilai secara berkala potensi kesan ke atas operasi dan prestasi kewangan kumpulan,” katanya.
Axiata berkata dengan mengambil kira peluang dan risiko bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2026, kumpulan itu kekal di landasan untuk menyampaikan pertumbuhan keuntungan dan penilaian.
"Dalam Axiata melangkah ke fasa seterusnya di bawah 'Axiata28: Advancing Asia', tumpuan kami kekal pada peruntukan modal yang berdisiplin, pelaksanaan yang konsisten dan pengekalan pulangan merentasi portfolio yang lebih fokus serta berdaya tahan.
"Lembaga Pengarah akan terus mengutamakan kekuatan kewangan, disiplin tadbir urus dan penciptaan nilai jangka panjang untuk para pemegang saham," kata Pengerusi Axiata Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulannya, Vivek Sood berkata pelancaran 5Gnya sedang berkembang di semua pasarannya, meletakkan OpCos untuk menangkap peluang pertumbuhan masa depan, dengan Robi di Bangladesh pada peringkat penggunaan lebih awal.
"Kami sedang memperkemas portfolio bagi mengoptimumkan prestasi dan membuka kunci nilai, mengukuhkan penjanaan tunai daripada aset telekomunikasi kami sambil meningkatkan serta merealisasikan nilai daripada perniagaan teknologi kami untuk menyokong pulangan pemegang saham jangka panjang," katanya lagi.
-- BERNAMA