BERITA TERKINI   153 laporan polis diterima setakat 3 petang berhubung kenyataan Puad Zarkashi - Ketua Polis Johor | Singapura naikkan bayaran masuk teksi Malaysia ke S$15 setiap perjalanan bermula 1 Jan, 2027 - LTA  | Malaysia melepasi kapasiti tenaga boleh baharu 13.3GW pada 2025, dipacu oleh pertumbuhan pesat tenaga solar - TPM Fadillah | Malaysia menyasarkan 118 juta liter air terawat sehari menjelang 2030 untuk kegunaan industri, meningkat daripada pengeluaran semasa 48.5 juta liter sehari - TPM Fadillah | 

Positif Bagi PCG Jika Petronas Ambil Alih Kawalan Penuh PPC - CGS International

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Implikasi akan menjadi amat positif bagi Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) jika Petronas mengambil langkah untuk menyepadukan sepenuhnya Pengerang Petrochemical Co Sdn Bhd (PPC) apabila PPC dijangka terus menyumbang kerugian besar kepada PCG.

Menurut syarikat minyak nasional, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dalam kenyataan pada 25 Mei 2026, pemilikan penuh PRefChem membolehkan Petronas meningkatkan lagi penyelarasan operasi dan fleksibiliti dalam rantaian nilainya.

Firma broker CGS International Securities memaklumkan bahawa ungkapan dalam kenyataan Petronas menunjukkan syarikat itu mungkin akhirnya akan mengambil alih kawalan penuh terhadap PPC, sekali gus memastikan penyepaduan penuh Pengerang Refining Company Sdn Bhd (PRC) dan PPC, secara kolektif PRefChem. 

Ad Banner

“Tanpa PPC, PCG berpotensi kembali ke era kegemilangan sebelumnya dengan menghasilkan bahan suapan gas etana dan metana disokong oleh harga bahan mentah yang lebih baik serta tidak lagi terdedah kepada operasi bahan suapan berasaskan nafta di Pengerang yang mencatat kerugian,” menurut CGS International dalam nota penyelidikan hari ini.

Baru-baru ini, Petronas dan Saudi Aramco mengumumkan bahawa Aramco akan menjual 50 peratus kepentingan ekuitinya dalam PRC dan PPC kepada Petronas.

Sehubungan itu, Petronas akan memiliki 100 peratus kepentingan dalam PRC manakala Petronas dan PCG akan mempunyai kepentingan 50:50 dalam PPC.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Jika diandaikan bahawa PCG tidak mempunyai kepentingan 50 peratus dalam PPC, unjuran keuntungan bersih teras PCG bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2026 akan meningkat sebanyak 46 peratus berbanding anggaran semasanya.

Terdapat juga peningkatan sebanyak 67 peratus pada tahun kewangan 2027 dan 96 peratus pada tahun kewangan 2028, menurutnya.

“Jika andaian kami tidak tepat, justeru, unjuran sedia ada terhadap PCG kekal tidak berubah,” menurut CGS International.

Katanya transaksi itu tidak akan memberi impak segera kepada PCG berikutan ia mengekalkan 50 peratus pegangan sedia ada dalam PPC.

PCG dijangka meneruskan kerjasama operasi yang erat dan pemegang saham dengan syarikat induk Petronas di unit Pengerang.

Menurutnya, harga saham PCG telah berada di bawah tekanan dalam beberapa minggu ini, dengan jangkaan pasaran bahawa potensi pembukaan semula Selat Hormuz akan mewujudkan penurunan harga jualan petrokimia dan harga bahan mentah, yang menjadi risiko penurunan kepada PCG.

Risiko penurunan lain termasuklah kerugian yang lebih besar daripada jangkaan di Kertih disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan loji yang sedang dijalankan.

“Bagaimanapun, kami melihat jangkaan pendapatan suku tahunan PCG pulih dengan ketara pada suku kedua 2026 sebagai potensi pemangkin utama kepada penilaian semula saham. Ini menyokong penarafan “Tambah” dan harga sasaran pada RM6.58.

“Selain itu, jika PCG menjual 50 peratus pegangannya dalam PPC kepada Petronas, kami menjangka pasaran akan memberi reaksi positif dan menilai semula saham tersebut dengan sewajarnya,” menurut CGS International. 

-- BERNAMA