Digital Realty Berkembang Ke Malaysia, Rancang Pembangunan Kapasiti Pusat Data 32 MW
KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Platform pusat data global neutral awan dan firma telekomunikasi, Digital Realty, mengumumkan penubuhan di Malaysia serta rancangan bagi membangunkan dan meningkatkan kapasiti pusat data 32 megawatt (MW) untuk menyokong keperluan infrastruktur digital negara yang kian berkembang.
Pengarah Urusan dan Ketua Asia Pasifik Serene Nah berkata kehadiran pihaknya d Malaysia menandakan satu pencapaian penting dalam pengembangan Digital Realty di Asia Pasifik seterusnya menyepadukan Malaysia dengan platform global yang direka untuk kesalinghubungan, daya tahan dan boleh skala.
“Kami sedang membangunkan kampus pusat data berbilang tapak di Cyberjaya, iaitu KUL10 yang dahulunya dikenali sebagai TelcoHub 1, antara pusat data paling terhubung dan padat dengan rangkaian telekomunikasi di Malaysia.
“Sementara itu, KUL11 yang terletak kira-kira 500 meter berhampirannya, merupakan kemudahan khusus berkapasiti 15 MW yang direka untuk menyokong beban kerja kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran berprestasi tinggi,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Pusat Data Berbilang Tapak Digital Realty di sini, hari ini.
Perasmian Pusat Data Berbilang Tapak Digital Realty itu disempurnakan oleh Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Nah berkata Digital Realty yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu turut menjangkakan pengembangan tapak pusat data pada masa hadapan yang akan menambah 14 MW kapasiti lagi, dengan sasaran siap menjelang pertengahan 2028.
“Kami juga sedang menilai tapak-tapak lain untuk tujuan pengembangan,” katanya.
Beliau berkata secara keseluruhan, semua aset itu akan membentuk sebuah platform yang sangat terhubung, disokong oleh lebih 40 penyedia perkhidmatan rangkaian serta ekosistem awan dan rakan kesalinghubungan yang kukuh.
Pembangunan itu akan mewujudkan asas untuk platform Digital Realty, yang semakin berkembang di Malaysia, di samping membolehkan perusahaan termasuk perniagaan awan dan digital melaksanakan serta mengembangkan infrastruktur mereka dalam komuniti data yang saling terhubung di peringkat global, katanya.
Nah berkata dengan menyepadukan kemudahan di Cyberjaya dengan platform pusat data global PlatformDIGITAL milik Digital Realty serta membolehkan kesalinghubungan melalui rangkaian penyelesaian ServiceFabric, pihaknya akan menyokong beban kerja teragih, AI dan berintensifkan data yang memerlukan kesalinghubungan berprestasi tinggi dengan kependaman rendah merentas pasaran.
“Pelanggan di Malaysia boleh terhubung secara berperingkat dengan ekosistem global Digital Realty yang merangkumi lebih 300 pusat data di lebih 30 negara, sekali gus membolehkan kesalinghubungan kependaman rendah dan pelaksanaan beban kerja yang lancar merentas hab serantau utama termasuk Singapura dan Jakarta,” katanya.
-- BERNAMA