Pentech Sasar Sumbangan Hasil Berulang 40 Peratus Dalam Tempoh Tiga Tahun
KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang berpangkalan di Pulau Pinang, Pentech Holdings Bhd menyasarkan hasil berulang menyumbang 40 peratus daripada jumlah pendapatannya manakala 60 peratus lagi daripada segmen tidak berulang dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Yeoh Chin Ming berkata hasil berulang syarikat terdiri daripada perkhidmatan terurus, perkhidmatan awan dan perkhidmatan baharu yang bakal ditawarkan seperti kecerdasan buatan (AI) dan perkhidmatan keselamatan siber.
“Kebiasaannya, bagi perkhidmatan terurus kami melaksanakan projek sekali sahaja. Selepas projek diserahkan kepada pelanggan, kami akan menggalakkan mereka melanggan perkhidmatan sama bagi tempoh antara satu hingga tiga tahun, yang akan membantu meningkatkan sumbangan hasil berulang kepada sasaran 40 peratus itu.
“Selain itu, kami menyediakan perkhidmatan penyelesaian awan kepada pelanggan sejak lapan tahun lepas. Kami akan terus mengembangkan perkhidmatan ini dan memperluaskan capaian kepada lebih ramai pelanggan bagi mengukuhkan perniagaan berulang kami,” katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian syarikat itu di sini hari ini.
Pentech memulakan dagangan pertamanya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga 29 sen sesaham, iaitu premium sembilan sen atau 45 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 20 sen sesaham, dengan 14.13 juta saham didagangkan.
Beliau berkata satu lagi faktor yang dijangka menyumbang kepada pertumbuhan syarikat ialah pelancaran perkhidmatan baharu iaitu penyelesaian AI, tawaran keselamatan siber dan perkhidmatan pusat operasi keselamatan siber (SOC) yang dijadual diperkenalkan ke pasaran tahun ini.
Syarikat itu telah mula mengambil kakitangan termasuk jurutera bagi SOC yang terletak di Dutamas, Kuala Lumpur dan sedang menilai pelbagai teknologi, penyelesaian serta model perniagaan sebelum menawarkannya kepada pelanggan, kata Yeoh.
Pentech juga berkemungkinan besar memanfaatkan peningkatan penggunaan ICT dalam kalangan institusi perkhidmatan kewangan dan perbankan (BFSI) serta sektor logistik memandangkan kedua-dua segmen itu mempunyai pasaran yang luas di Malaysia.
Beliau berkata syarikat turut memanfaatkan perkembangan penggunaan ICT dan AI dalam industri penjagaan kesihatan, sambil menambah bahawa Pentech sedang dalam proses mengguna pakai piawaian antarabangsa bagi sistem pengurusan keselamatan maklumat (ISMS).
“Ini bagi memastikan kami mematuhi piawaian audit dan keperluan keselamatan maklumat, sekali gus meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap penyelesaian yang kami tawarkan,” katanya.
Mengulas prospek industri ICT Malaysia tahun ini, beliau berkata sektor itu kekal positif meskipun berdepan cabaran ekonomi global susulan melihat pengembangan industri ICT yang berterusan.
“Walaupun ketika pandemik, ICT merupakan antara teknologi dan industri yang paling banyak digunakan serta tidak terjejas dengan ketara kerana ia telah menjadi satu keperluan,” kata beliau.
-- BERNAMA