BERITA TERKINI   ETA Group raih kontrak bernilai RM66.69 juta bagi tiga projek pembinaan di Kapar, Klang | Gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 berlaku di perairan Batu Pahat, Johor pada 4.55 petang -- MetMalaysia | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Selepas Dolar US Mengukuh

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini selepas dolar US mengukuh sehingga menjejaskan logam berharga itu.

Ahli strategi global Intel Quintex, Stephen Innes berkata dolar US kuat berbanding mata wang utama, menyumbang kepada tekanan jualan ke atas emas.

Ad Banner

Beliau berkata ulasan yang agak agresif daripada pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) adalah pemacu paling jelas kepada dolar yang lebih mantap.

“Presiden Fed Chicago, Austan Goolsbee memberi amaran bahawa kejutan bekalan, digabungkan dengan perbelanjaan kukuh dan pelaburan berkaitan kecerdasan buatan, boleh mengekalkan inflasi berterusan.

“Beliau menambah bahawa laluan kembali ke sasaran inflasi 2.0 peratus Fed mungkin agak sukar. Walaupun beliau bukan pengundi pada 2026, Goolsbee berkedudukan hampir kepada pusat spektrum Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dan oleh itu dilihat sebagai pengukur paling penting bagi konsensus jawatankuasa itu,” kata Innes kepada Bernama. 

Ad Banner

Pasaran juga masih cuba menentukan laluan kadar faedah Fed melangkaui akhir tahun, dengan peniaga pertukaran asing cenderung ke arah pandangan yang agak lebih agresif daripada yang dijangkakan sebelum ini.

Emas melonjak semasa sesi New York tetapi dijual secara berterusan sepanjang sesi Asia, mencerminkan corak dagangan Isnin, katanya.

Penjualan pada sesi Asia agak luar biasa memandangkan pasaran Asia secara amnya merupakan pembeli emas yang lebih kukuh semasa tempoh kenaikan harga, katanya.

Innes berkata pasaran Asia kelihatan lebih optimis dengan pertemuan akan datang antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping, yang dijangka dapat meredakan ketegangan geopolitik Timur-Barat.

Pasaran, bagaimanapun, kurang yakin kemungkinan perbincangan antara AS dan Iran di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu akan membuahkan kemajuan yang bermakna, katanya.

“Jika landasan diplomatik itu mengecewakan dan harga minyak naik semula, ia boleh membawa risiko inflasi dan hasil yang lebih tinggi kembali menjadi tumpuan, ini tidak merangsang emas,” katanya.

Pada penutup, kontrak bulan semerta September 2026 turun kepada US$4,320.80 satu auns troy daripada US$4,350.10 yang dicatatkan pada Isnin, manakala Oktober 2026 jatuh kepada US$4,338.00 daripada US$4,367.30.

November 2026 merosot kepada US$4,354.60 satu auns troy daripada US$4,383.90, manakala Disember 2026, Februari 2027 dan April 2027 semuanya melemah kepada US$4,362.40 daripada US$4,391.70 satu auns troy auns sebelum ini.

Jumlah dagangan meningkat kepada 371 lot berbanding 238 lot yang disaksikan pada Isnin, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 428 kontrak daripada 302.

Berdasarkan ketetapan tengah hari 21 Sept di London Bullion Market Association, emas fizikal ditetapkan pada US$4,324.25 satu auns troy.

-- BERNAMA