BERITA TERKINI   ETA Group raih kontrak bernilai RM66.69 juta bagi tiga projek pembinaan di Kapar, Klang | Gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 berlaku di perairan Batu Pahat, Johor pada 4.55 petang -- MetMalaysia | DUN Melaka dibubar berkuat kuasa esok bagi memberi laluan kepada PRN Melaka ke-16 - Ab Rauf | 

Prospek Ekonomi Global Dijangka Bertambah Baik, Namun Ketidakpastian Kekal - WEF

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Sebanyak 56 peratus ketua ekonomi yang ditinjau menjangkakan prospek ekonomi global kekal stabil atau bertambah baik, peningkatan ketara berbanding tinjauan pada Mei apabila 89 peratus menjangkakan keadaan ekonomi akan merosot, menurut Forum Ekonomi Dunia (WEF) dalam laporan terbaharunya, Chief Economists’ Outlook - September 2026.

Dalam kenyataan, WEF memaklumkan peningkatan itu dicapai dengan tahap keyakinan yang terhad bahawa kestabilan tersebut dapat dikekalkan.

Menurut WEF, hampir semua responden (97 peratus) menyenaraikan konflik geopolitik sebagai sumber ketidakpastian yang berkemungkinan berlaku dalam tempoh setahun akan datang, manakala 58 peratus menjangkakan pembetulan harga aset dan hanya satu perempat menjangkakan ekonomi global menjadi lebih berdaya tahan.

Ad Banner

“Ketua-ketua ekonomi menjangkakan ekonomi global akan stabil, namun ketidakpastian kekal tinggi berikutan ketidaktentuan geopolitik, kemungkinan pembetulan harga aset, penelitian lebih ketat terhadap pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI) dan tekanan berterusan terhadap kos sara hidup,” kata Ketua Pertumbuhan Ekonomi dan Transformasi WEF Attilio Di Battista.

Beliau berkata sokongan kerajaan memainkan peranan penting dalam mengharungi krisis yang berlaku berturut-turut, namun kapasiti fiskal berkemungkinan semakin terhad pada masa akan datang.

“Keutamaan sekarang adalah memperkukuh asas daya tahan sebelum kejutan seterusnya berlaku,” katanya.

Ad Banner

WEF memaklumkan dalam tempoh 12 bulan akan datang, hanya 28 peratus ahli ekonomi yang ditinjau menjangkakan sokongan fiskal kekal sebagai sumber daya tahan paling penting bagi ekonomi global, berbanding 69 peratus yang menyifatkannya sebagai sokongan utama sejak 2020.

Sebaliknya, WEF memaklumkan daya tahan pada masa depan berkemungkinan semakin bergantung pada rantaian bekalan yang fleksibel, inovasi teknologi dan penyesuaian pasaran tenaga, dengan Amerika Syarikat (AS) dan China dilihat paling bersedia untuk menghadapi kejutan.

“Dalam tempoh yang sama, sebanyak 97 peratus responden menjangkakan penggunaan AI meningkat, manakala 69 peratus menjangkakan teknologi itu akan menghasilkan peningkatan produktiviti yang ketara.

“Kira-kira lapan daripada 10 responden (78 peratus) menjangkakan pelaburan pusat data menyumbang bahagian yang besar kepada pertumbuhan global, namun 79 peratus menjangkakan pengembangan itu berdepan tentangan ketara daripada komuniti setempat,” menurut WEF.

Pada masa yang sama, sebanyak 61 peratus tidak menjangkakan pelaburan pusat data menyumbang bahagian yang besar kepada penciptaan pekerjaan global, manakala majoriti responden menjangkakan pengembangan itu akan menyebabkan harga elektrik (78 peratus) dan air (58 peratus) meningkat, menurutnya.

“Persaingan AI antara China dan AS dijangka semakin sengit, dengan 69 peratus menjangkakan model bahasa besar China akan menyamai keupayaan model bahasa besar AS dalam tempoh 12 bulan akan datang,” menurutnya.

Menurut laporan itu, sebanyak 77 peratus ahli ekonomi yang ditinjau menjangkakan pemecahan geoekonomi meningkat dalam tempoh setahun akan datang, manakala 55 peratus menjangkakan kenaikan tarif di AS dan 43 peratus di Eropah.

WEF memaklumkan perdagangan dan pelaburan akan terus menyesuaikan diri, dengan dua pertiga responden menjangkakan jumlah perdagangan global meningkat dan 83 peratus menjangkakan eksport China ke pasaran di luar AS bertambah.

Selain itu, WEF memaklumkan responden menjangkakan kos sara hidup meningkat, khususnya harga makanan (88 peratus responden), elektrik (83 peratus) dan pengangkutan (77 peratus).

Menurut WEF, majoriti ahli ekonomi yang ditinjau menjangkakan pendapatan benar menurun atau tidak berubah di kebanyakan rantau, kecuali Asia Tenggara dan India, yang mana lebih 60 peratus responden menjangkakan peningkatan.

“Kerajaan dijangka memilih langkah yang bersifat meluas dan mudah dilihat: pengurangan cukai ke atas barangan keperluan (60 peratus), subsidi penggunaan (54 peratus) dan kawalan harga (50 peratus) dilihat paling berkemungkinan dilaksanakan, manakala hanya 36 peratus menjangkakan pengurangan cukai untuk isi rumah berpendapatan rendah dan 26 peratus menjangkakan bantuan tunai bersasar,” menurut WEF.

Tinjauan bagi edisi ini dijalankan dari 4 hingga 20 Ogos 2026.

-- BERNAMA