BERITA TERKINI   Projek tenaga boleh baharu yang dirancang menerusi program LSS dan CRESS dijangka menambah sekitar 10,000 hingga 11,000 MW kapasiti menjelang 2030 -- PETRA | PETRA, Suruhanjaya Tenaga teliti cadangan pelarasan bahan api automatik berperingkat bagi 2027, pastikan agihan kos bahan api lebih saksama | Penggunaan air bagi pusat data di Selangor, Johor dan Negeri Sembilan diunjur mencecah 445.04 juta liter sehari menjelang 2030 --PETRA | Margin rizab elektrik bagi tempoh 2027 hingga 2035 diunjurkan pada paras 24 hingga 27 peratus berdasarkan mesyuarat JPPPET pada 11 November lepas -- PETRA. | Kerajaan ambil pendekatan tadbir urus berfokus pastikan rakyat dilindungi seiring perubahan industri, pekerjaan susulan perkembangan AI - Fahmi  | 

HSS sasar Pertumbuhan Di Asia Tenggara Didorong Permintaan Meningkat Untuk Produk Bakeri Halal

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Pengeluar produk bakeri, HSS Holdings Bhd merancang untuk memperkukuh kedudukannya di Asia Tenggara, memanfaatkan permintaan meningkat untuk produk halal selepas penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Pengarah Pengeluarannya, Joshua Lau Ern Tien berkata Asia Tenggara kekal sebagai pasaran pertumbuhan utama kumpulan, didorong oleh peningkatan penerimaan terhadap produk halal Malaysia, antara kekuatan utama dan tarikan jualan syarikat.

“Produk tradisional kami seperti kek dan biskut turut mendapat sambutan meluas di pasaran termasuk Indonesia, Filipina, Thailand dan Dubai,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyenaraian syarikat itu hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Pada 9 pagi ini, HSS yang mula disenaraikan dibuka mendatar pada 18 sen, tidak berubah daripada harga tawaran awam permulaan (IPO), dengan 16.23 juta saham diniagakan. 

Syarikat menyasarkan untuk meraih RM13.5 juta daripada IPO, dengan RM2.57 juta untuk perbelanjaan modal bagi kemudahan pembuatan kumpulan; RM4.50 juta untuk membayar balik pinjaman bank; RM2.93 juta untuk modal kerja dan RM3.50 juta untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.

Lau berkata hasilnya akan membolehkan HSS meningkatkan keupayaan pembuatannya, melabur dalam automasi dan menambah baik operasi, memperkukuh jenamanya dan meningkatkan kecekapan secara keseluruhan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Malaysia kekal sebagai penyumbang terbesar kami. Kami merancang untuk menambah lebih banyak peruncit tempatan selain memperluas ke pasaran baharu di dalam dan luar Malaysia,” katanya.

Rangkaian syarikat itu terdiri daripada 330 pemborong, 117 peruncit dan lima pengedar di Malaysia, Singapura, Indonesia, Australia, Kemboja dan Korea Selatan.

Selepas penyenaraian, HSS akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM90 juta berdasarkan harga IPO sebanyak 18 sen sesaham, dengan modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 500 juta saham.

M & A Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan IPO tersebut.

Pada 5 petang, HSS kekal mendatar pada 18 sen dengan 90.33 juta saham diniagakan.

-- BERNAMA