MITI Teliti Maklum Balas Industri Berhubung Elaun Pelaburan Semula
MELAKA, 26 Jun (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang meneliti isu berkaitan elaun pelaburan semula (RA) dan akan membawanya kepada perhatian Kementerian Kewangan (MOF) susulan gesaan komuniti perniagaan untuk penambahbaikan insentif bagi menggalakkan pelaburan semula syarikat.
Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata insentif RA tersebut berada di bawah bidang kuasa MOF dan sebarang keputusan berhubung lanjutan tempoh atau perubahan dasar tertakluk kepada pertimbangan kementerian itu serta pihak berkuasa percukaian.
"Pihak kementerian akan membantu membawa suara komuniti perniagaan kepada MOF. Namun, keputusan muktamad adalah di bawah MOF dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi dialog bersama wakil usahawan Melaka di Banda Hilir di sini hari ini.
Beliau berkata RA bukan bersifat kekal dan tempoh kelayakan RA semasa adalah panjang. Justeru itu, sebarang cadangan untuk melanjutkannya termasuk daripada 15 tahun kepada 20 tahun perlu diteliti oleh MOF.
Dalam perkembangan lain, Sim berkata sektor perkhidmatan menyumbang 51.4 peratus kepada ekonomi Melaka, dipacu terutamanya oleh industri pelancongan yang turut membantu meningkatkan prestasi sektor perkhidmatan negara.
Malaysia merekodkan lebihan dalam perdagangan perkhidmatan buat kali pertama pada 2025 selepas mengalami defisit sejak 2011, sekali gus mencerminkan perkembangan positif sektor berkenaan.
"MITI bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) dan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) akan terus membantu syarikat di Melaka meningkatkan produktiviti, mengguna pakai automasi serta memenuhi pensijilan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi menembusi pasaran antarabangsa," katanya.
Selain itu, Sim berkata Melaka merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM12.1 bilion dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan pada 2025, meningkat ketara berbanding RM2.3 bilion pada 2020, yang disifatkannya sebagai rekod tertinggi negeri itu.
Katanya, prestasi itu menunjukkan ekonomi Melaka berada pada landasan yang baik, disokong kadar pengangguran yang semakin menurun dan pertumbuhan pelaburan yang memberangsangkan.
"Ini semua adalah hasil daripada kestabilan politik dan ekonomi, sekali gus membuktikan elemen ini sangat penting untuk masa depan kita dan kita berharap momentum ini dapat dikekalkan agar pertumbuhan sosio-ekonomi kerajaan negeri dan pusat terus berkembang," kata beliau.
-- BERNAMA